SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan ibu bapa Zayn Rayyan bagi membatalkan pertuduhan berkaitan pengabaian anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Hakim Roszianayati Ahmad memutuskan demikian terhadap notis usul yang dikemukakan mereka pada Januari lalu selepas tiada kecacatan dikesan dalam pertuduhan dihadapi di Mahkamah Sesyen dan intipatinya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dalam prosiding 25 Februari lalu, peguam Marcus Lee yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka tidak menyatakan secara spesifik kesalahan dilakukan.
Menurutnya, pengabaian sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pertikaian itu dipertikaikan kerana tidak dinyatakan dengan jelas cara jenayah itu dilakukan dalam pertuduhan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin selaku responden menjelaskan pertuduhan yang didakwa ke atas kedua-dua pemohon adalah jelas, tidak kabur dan tidak defektif.
“Tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan memberi butiran bagaimana kesalahan itu dilakukan kerana itu melibatkan keterangan-keterangan saksi,” balasnya.
Minggu lalu, dua saksi kanak-kanak dalam kes perbicaraan itu selesai memberi keterangan di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya termasuk hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan juga melawat kawasan Blok R di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.
Selain pihak mahkamah, turut hadir di lokasi kejadian ialah dua tertuduh iaitu Zaim Ikhwan dan Ismanira serta enam saksi pendakwaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi Selasa depan.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan dan Ismanira yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka
Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN