SHAH ALAM: Penyanyi, Naqiu, mengambil pendekatan mengeluarkan lagu raya pertamanya, Raya Sempoi, di penghujung bulan bagi memberi peluang kepada pendengar merayakan ibadah puasa di bulan Ramadan.
Sebagai penyanyi yang mula aktif sejak 2001, Naqiu atau Wan Naqiuddin Mohd Najib, 38, mengikuti jejak langkah artis lama yang lazimnya menyanyikan lagu raya dua minggu sebelum lebaran.
“Saya ini berada di tengah-tengah dalam mengikut peredaran zaman mengeluarkan lagu raya. Cara saya lebih ‘old school’ di mana terbitkan lagu raya dua minggu selepas berpuasa sebab nak beri orang rasa dahulu aura Ramadan.
“Kalau nak diikutkan, saya nak buat lagu ketuhanan di bulan Ramadan, kemudian lagu raya di bulan Syawal.
“Tapi tahun ini saya sempat buat satu lagu sahaja dan kita terbitkan di pertengahan bulan sebab tidak mahu kacau ‘vibes’ puasa.
“Bagaimanapun, saya tidak salahkan kalau ada yang mahu terbitkan lagu raya lebih awal. Terpulang kepada strategi pemasaran masing-masing,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kueh Setia Alam, baru-baru ini.
Bercerita mengenai proses rakaman lagu hasil ciptaan bersama John Jeeves, Darien Sebastian dan Shazriq Azeman itu, Naqiu menjelaskan Raya Sempoi siap sepenuhnya beberapa hari sebelum puasa bermula.
Penggambaran video muzik juga selesai dirakam dua hari sebelum Ramadan.
“Sempoi ini bahasa pasar untuk santai. Sangat kena dengan orang seperti saya yang jenis santai. Saya tahu tahun ini banyak lagu raya, sebenarnya waktu rakaman pun kita ada rasa ragu tidak sempat siapkan lagu. Banyak perkara buatkan kami takut juga nak terbitkan lagu.
“Tapi oleh sebab lagu semua sudah siap, video muzik pun sudah tersedia. Jadi kami teruskan sahaja. Lagu ini ‘pergi’ atau tidak, semua itu belakang cerita,” tambahnya.
Kerap menyanyikan lagu orang lain setiap kali menghadiri jemputan rumah terbuka, juara Gegar Vaganza musim keenam (GV6) itu bersyukur kerana akhirnya dia mempunyai lagu raya sendiri untuk dipersembahkan kepada peminat.
“Ini lagu raya pertama saya. Saya cuma mahu terbitkan sahaja agar peminat tahu saya sudah ada lagu raya pertama.
“Selain itu, sejak saya ‘come back’, saya asyik nyanyi lagu orang. Sudah masanya saya nyanyikan dan alang-alang mempromosikan lagu raya sendiri setiap kali terima undangan persembahan hari raya,” jelasnya.
Video muzik Raya Sempoi sudah dimuat naik menerusi YouTube Sony Music My Evo dan kini meraih hampir 400 ribu tontonan sejak dikongsikan sebelas hari lalu. -UTUSAN