Hubungan baik masyarakat Islam Thailand, Perlis manifestasi konsep Ummatan Wahidah - Utusan Malaysia

Hubungan baik masyarakat Islam Thailand, Perlis manifestasi konsep Ummatan Wahidah

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (lima dari kanan) berkenan merakamkan gambar bersama selepas menyampaikan sumbangan kepada lima buah masjid di pekarangan pusat membeli belah Central Festival Hat Yai, Thailand. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hubungan baik yang sedia terjalin antara umat Islam di Thailand dengan negeri ini adalah merupakan manifestasi kepada konsep Ummatan Wahidah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaksanaan Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga merupakan satu bentuk kerjasama dan usaha dilaksanakan dalam memperkukuhkan lagi hubungan dengan pelbagai pihak.

“Melalui program sebegini juga, kita bukan sahaja dapat memperlihatkan semangat ukhuwah yang tulus, tetapi juga menyemai kesedaran akan tanggungjawab MAIPs dalam memperkasakan lagi dakwah Islamiah di luar negara,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan mengetuai lawatan rombongan tanggungjawab sosial masyarakat oleh GTK Perlis ke Hat Yai, Thailand, baru-baru ini bagi menyampaikan sumbangan bersempena bulan Ramadan.

Mengiringi baginda adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Pada program itu, MAIPs menyampaikan sumbangan kepada lima buah masjid iaitu Masjid Ansudin, Masjid Faisaliah, Masjid Jami’iyyatil Muslim, Masjid Majmuk Muslim dan Masjid Al-Mahabbah.

Penyerahan sumbangan berkenaan adalah bagi tujuan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan buat setiap masjid terlibat.

Bersempena keberangkatan ke sana, baginda bersama rombongan turut mengunjungi Maahad Tahfiz Al-Quran Darul-Uloom, Bazar Ramadan Hat Yai dan melancarkan Promosi Masakan Perlis sewaktu majlis berbuka puasa di Restoran Marada Thai Cuisine.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berbesar hati melihat komuniti Islam Thailand sentiasa berusaha memelihara warisan agama dan budaya, di samping turut membimbing generasi muda untuk terus istiqamah dalam ajaran Islam sebenar. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya