Hotel wakaf perlu pengurusan cekap, elak imej negatif

Hotel wakaf perlu pengurusan cekap, elak imej negatif

MOHD Na’im Mokhtar menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim dan miskin pada Majlis Iftar Rantaian Kasih Bersama Anak-Anak Yatim dan Miskin sempena Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 di Melaka, semalam. - UTUSAN/AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hotel-hotel wakaf di negara ini perlu diuruskan dengan cekap dan profesional bagi memastikan konsep wakaf sebagai instrumen ekonomi Islam terus diyakini serta memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan, sebarang kelemahan dalam pengurusan hotel wakaf boleh menjejaskan reputasi serta persepsi masyarakat terhadap keberkesanan sistem wakaf.

“Hotel wakaf adalah lambang kejayaan wakaf produktif yang bukan sahaja menyediakan perkhidmatan perhotelan berlandaskan prinsip Islam, tetapi juga memberi pulangan kepada golongan memerlukan.

“Namun, jika ia gagal diurus dengan baik, ia akan merosakkan imej wakaf itu sendiri serta menghakis keyakinan masyarakat terhadap instrumen ekonomi Islam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Iftar Rantaian Kasih Bersama Anak-Anak Yatim dan Miskin sempena Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 di sini semalam.

Menurut Mohd Na’im, terdapat empat hotel wakaf di seluruh negara yang terletak di Melaka, Kuala Terengganu, Taiping (Perak) dan Negeri Sembilan.

“Model pembangunan wakaf ini membuktikan bahawa aset wakaf boleh dioptimumkan secara produktif. Namun, pengurusan yang lemah boleh menyebabkan kemerosotan kualiti perkhidmatan dan akhirnya merugikan umat Islam sendiri,” katanya.

Beliau menekankan bahawa pengurusan hotel wakaf perlu mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi serta menyesuaikan strategi operasi mengikut keperluan industri bagi memastikan daya saingnya terjamin.

Jelasnya, melalui pengurusan cekap, hotel wakaf dapat menjadi contoh kejayaan instrumen ekonomi Islam yang bukan sahaja memberi manfaat kepada umat Islam, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya