MELAKA : Pengurusan hotel wakaf di negara ini perlu dilaksanakan dengan cekap dan profesional bagi memastikan konsep wakaf sebagai instrumen ekonomi Islam terus diyakini serta memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, sebarang kelemahan dalam pengurusan hotel wakaf boleh menjejaskan reputasi serta persepsi masyarakat terhadap keberkesanan sistem wakaf.
“Hotel wakaf adalah lambang kejayaan wakaf produktif yang bukan sahaja menyediakan perkhidmatan perhotelan berlandaskan prinsip Islam, tetapi juga memberi pulangan kepada golongan memerlukan.
“Jika gagal diurus dengan baik, ia akan merosakkan imej wakaf itu sendiri serta menghakis keyakinan masyarakat terhadap instrumen ekonomi Islam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Iftar Rantaian Kasih Bersama Anak-Anak Yatim dan Miskin sempena Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 di Puteri Bay Hotel Pantai Puteri di sini.
Turut sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman.
Menurut Mohd Na’im, terdapat empat hotel wakaf di seluruh negara yang terletak di Melaka, Kuala Terengganu, Taiping (Perak) dan Negeri Sembilan.
“Puteri Bay Hotel sendiri merupakan aset wakaf milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang diuruskan oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan dioperasikan oleh anak syarikatnya, Perbadanan Wakaf Nasional Berhad (PWNB).
“Model pembangunan wakaf ini membuktikan bahawa aset wakaf boleh dioptimumkan secara produktif. Namun, pengurusan yang lemah boleh menyebabkan kemerosotan kualiti perkhidmatan dan akhirnya merugikan umat Islam sendiri,” katanya.
Beliau menekankan bahawa pengurusan hotel wakaf perlu mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi serta menyesuaikan strategi operasi mengikut keperluan industri bagi memastikan daya saingnya terjamin.
Dalam majlis tersebut, YWM turut mengagihkan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada tiga institusi kebajikan yang menyantuni anak-anak yatim dan miskin.
Selain itu, sebagai sebahagian daripada inisiatif Bulan Wakaf Kebangsaan, YWM turut menyalurkan bantuan melalui agihan dana wakaf tunai sebanyak RM323,352, dana CSR RM73,300, dan dana manfaat RM14,000.
Melalui pengurusan yang cekap, hotel wakaf dapat menjadi contoh kejayaan instrumen ekonomi Islam yang bukan sahaja memberi manfaat kepada umat Islam, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara secara menyeluruh.-UTUSAN