KEPALA BATAS: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, pengusaha pusat jagaan kucing atau hotel kucing di Pulau Pinang tidak menang tangan dalam melayani tempahan penginapan daripada pelanggan mereka.
Pemilik Kaka Cat House di Bertam di sini, Anas Mursyidi Abu Mansor, 37, berkata, seperti mana pengusaha hotel kucing yang lain, dia juga tidak terkecuali daripada menghadapi keadaan sama.
Anas Mursyidi berkata, untuk tahun ini, dia tidak mengiklankan perkhidmatan itu kerana tempahan yang diterima telah penuh lebih awal iaitu sebelum tibanya Ramadan.
“Alhamdulillah, setiap kali Tahun Baharu Cina, Krismas dan hari raya, tempahan yang kami terima sangat banyak. Jadi, mahu atau tidak, kami terpaksa menutup tempahan itu lebih awal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Anas Mursyidi berkata, Kaka Cat House mampu menempatkan sehingga 48 unit bilik standard, selain tiga unit bilik bersaiz besar yang boleh memuatkan antara tiga hingga enam ekor kucing pada satu-satu masa.
Katanya, harga untuk bilik standard bermula serendah RM20 untuk satu malam manakala bilik yang lebih besar pula berharga RM70 satu malam.
Katanya, ada dalam kalangan pelanggan yang terpaksa meninggalkan haiwan kesayangan mereka di bawah jagaannya hampir tiga tahun kerana bertugas di luar negara.
“Setiap empat bulan sekali, pemilik kucing ini akan pulang ke Malaysia dan akan mengambil kucingnya selama dua minggu sebelum menyerahkan kembali kepada kami selepas itu kerana terpaksa ke luar negara semula.
“Sekarang, sudah ada 10 ekor kucing miliknya yang tinggal bersama kami sejak November tahun lepas. Mungkin selepas hari raya nanti baru dia akan ambil kucing-kucingnya semula,” katanya. – UTUSAN