KUALA LUMPUR: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) tidak mempunyai sebarang masalah dengan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga ubat bermula tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun masih terdapat kebimbangan dalam kalangan pengamal perubatan am (GP) swasta yang meminta kelonggaran pelaksanaan paparan harga tersebut.
“Kerajaan telah menyatakan kesediaan untuk menanggung kos berkaitan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan paparan harga ubat ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan 2025 di Hospital Tunku Azizah di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dan Ketua Penolong Pegawai Perubatan Malaysia, Zulhemi Abdullah.
Tambah Dr. Dzulkefly, GP swasta turut menggesa kajian semula caj konsultasi doktor di klinik swasta yang tidak pernah disemak sejak 32 tahun lalu.
Beliau berkata, semakan itu melibatkan Jadual Ketujuh Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta atau Klinik Pergigian Swasta) 2006 di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang mengawal selia caj perundingan dan caj tatacara bagi pengamal perubatan am di klinik perubatan swasta.
“Bagi memastikan keadilan dalam penetapan caj perkhidmatan kesihatan di sektor swasta, kerajaan komited untuk memperjuangkan semakan semula kadar yuran tersebut.
“Sebagai perbandingan, kerajaan sebelum ini telah menyemak kadar yuran perundingan bagi hospital swasta di bawah Jadual 13 Akta 586, namun semakan terhadap Jadual 7 masih belum dilakukan,” katanya.
Dr. Dzulkefly berkata, GP swasta juga bersedia untuk melaksanakan pemaparan harga ubat di klinik mereka selaras dengan dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.
“Pihak berwajib termasuk Majlis Farmasi Malaysia (MFI) telah memberi jaminan perubahan ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini, KKM dilaporkan akan mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga ubat sebagai langkah meningkatkan ketelusan dan memastikan harga ubat tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.
Selain itu, KKM juga sedang menyemak semula caj konsultasi doktor di klinik swasta yang tidak pernah dikemas kini sejak 32 tahun lalu.
Semakan itu dijangka memberi kesan kepada kira-kira 10,300 klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah Akta 586 setakat September 2023. – UTUSAN