SEREMBAN: Sebuah hospital swasta di sini tampil menaja pembedahan dan rawatan katarak isteri kepada warga emas, Mohd. Nor Saad, 67, yang tular dalam kejadian membuang petai jualannya di Port Dickson minggu lalu.
Mohd. Nor yang kini mula dikenali sebagai ‘Pak Cik Petai’ berkata, dia berterima kasih kepada pihak hospital berkenaan yang menanggung kos pembedahan yang bernilai keseluruhan RM4,000 buat isterinya, Astiah Yaakob, 63.
“Saya memang orang susah, kerja kampung sahaja. Saya pun ada penyakit darah tinggi, kencing manis tetapi masih boleh cari nafkah. Duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun ada RM500, itu sahaja.
“Lama juga saya mengumpul duit tetapi tidak kesampaian, Tentu saya gembira sangat apabila ada pihak yang mahu menolong saya sekeluarga, terima kasih saya ucapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Columbia Asia di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Mohd. Noor menjaja petai menggunakan motosikal di hadapan sebuah pasar raya di Port Dickson bagi tujuan menampung kos pembedahan membuang selaput mata kiri isterinya.
Sementara itu, Astiah berkata, dia telah dinasihatkan untuk menjalani pembedahan membuang katarak di kedua-dua belah matanya enam tahun lalu.
“Saya ada bertanya bolehkah tangguh (pembedahan) kerana saya orang susah, tidak ada duit namun diberitahu ada bahagian kebajikan yang akan membantu namun tidak keseluruhan kerana status saya sebagai penduduk tetap.
“Saya sudah pembedahan untuk mata kiri di di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban enam tahun lalu, dan penglihatan memang jelas namun kini sebelah sahaja lagi, kalau tutup mata kiri ini, memang gelap dan tidak nampak apa.
“Hari-hari saya berdoa agar dimurahkan rezeki supaya pembedahan mata sebelah lagi dapat dilakukan, Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan,” katanya.
Sementara itu, pakar mata, Dr. K. Sangeeta berkata, hasil pemeriksaan mata ke atas Astiah mendapati masalah katarak di mata kanannya berada di tahap serius.
“Kanta mata akan menjadi keras dan menghalang cahaya masuk ke dalam mata sehingga mengganggu aktiviti harian pesakit. Enam tahun lalu, pesakit pernah membuat pembedahan katarak dan berjaya.
“Kali ini, pihak hospital akan menanggung kesemua kos pembedahan pada 10 April ini yang dianggarkan akan mengambil masa sekitar 30 minit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif hospital berkenaan, Alice Chong berkata, tajaan itu adalah merupakan tanggungjawab sosial masyarakat pihaknya. – UTUSAN
//habis
DR. K. Sangeeta memeriksa dan memberikan penerangan kepada Astiah sambil diperhatikan Mohd. Nor (tengah) di Hospital Columbia Asia, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH