KOTA KINABALU: Semua pihak termasuk PKR diingatkan tidak mempersoalkan kesetiaan Parti Warisan Sabah (Warisan) terhadap Kerajaan Perpaduan meskipun memutuskan bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, pendirian pihaknya selama ini jelas dan tidak berubah iaitu menyokong kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat namun kekal sebagai pembangkang di Sabah.
Katanya, pihaknya menghormati pendirian PKR yang meninggalkan Warisan pada pilihan raya lalu walaupun sebelum ini pernah bersama ketika Pilihan Raya Umum 2018.
“Mereka telah memilih untuk meninggalkan kita, jadi kita menghormati pendirian mereka. Walau apapun dalam konteks PRN Sabah, Warisan secara konsisten telah menyatakan bahawa kita akan bergerak solo.
“Kita telah menzahirkan pendirian itu sejak daripada awal sewaktu kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dibentuk. Malah, dalam mesyuarat kerajaan Perpaduan pun disebut sejak daripada awal bahawa di peringkat negeri, kita (Warisan) memilih untuk menjadi pembangkang.
“Ini bagi memastikan agar proses semak dan imbang dapat dilakukan, itu pendirian kita,” katanya semasa majlis berbuka puasa di Masjid Muhajirin Kampung Inderasabah di Balung, Tawau semalam.
Beliau berkata demikian semasa mengulas tentang kenyataan Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung yang menggesa Warisan mempertimbangkan semula keputusan untuk bertanding secara solo pada PRN Sabah.
Chean Chung berkata, sikap Warisan yang tidak jelas dan berbelah bahagi ini akan menjejaskan pembangunan jangka panjang Sabah.
Mengulas lanjut, Mohd. Azis berkata, sepatutnya tidak timbul persoalan Warisan menyatakan pendirian untuk bergerak solo pada PRN Sabah akan datang kerana perkara itu sudah dijelaskan sejak peringkat awal.
“Namun, apa pun yang berlaku selepas pilihan raya tiada siapa yang tahu. Tapi, saya berharap pada PRN Sabah kali ini akan ada satu keputusan yang jelas dibuat oleh rakyat.
“Jangan berlaku seperti di Semenanjung, tiada parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan dan ia tidak baik kepada sistem demokrasi negara,” katanya. – UTUSAN