Hilang anak harapan keluarga - Ibu

Hilang anak harapan keluarga – Ibu

NOR HASMIDAH Hassim menunjukkan gambar Nurasyraf Afif ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang ibu kehilangan anak harapannya yang maut dalam kemalangan  ketika dalam perjalanan ke kolej di Kilometer 10.3, Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini pagi tadi.

Nor Hasmidah Hassim, 50, berkata, Nurasyraf Afif Abdul Ghafar, 20, merupakan anak keempat daripada lima beradik dan seorang yang rajin membantu keluarga, malam tadi arwah sempat membantu bapanya menyiapkan tapak untuk berniaga di bazar Ramadan Kluang sebelum pulang kira-kira pukul 1 pagi.

“Pukul 5 pagi apabila kejut sahur dia tak mahu bangun sebab sudah makan bersama ayahnya. Biasanya sebelum ke sekolah saya memang akan kejut dan anak beritahu arwah gerak ke kolej kira-kira pukul 7.30. 

“Dia adalah anak harapan akak, dia tolong suami berniaga angkat barang semua dia sangat rajin. Dia ada adik tapi tak minat niaga, jadi apabila bab niaga semua dia yang bantu. 

“Ayahnya berniaga bazar di Kota Tinggi, Kulai dan Kluang tahun ini. Malam tadi mereka sediakan tapak di bazar Kluang sebab belum siap. Ayahnya sudah berumur, jadi tak larat angkat berat, dialah harapan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi hari ini.

Guru matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara itu berkata, arwah tiada menunjukkan sebarang perubahan dan arwah kini dalam semester terakhir di Kolej Vokasional Kota Tinggi serta memang berulang-alik ke kolej menunggang motosikal sebelum menggunakan kereta milik datuknya.

“Dia memang suka naik motosikal dengan kawan dia.  Tak sangka dia meninggal dengan menaiki kereta. Saya reda dengan pemergiannya, ” katanya sambil memberitahu jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Semenchu.

Dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 10.3, Jalan Kota Tinggi-Kluang dua maut termasuk Nurasyraf Afif, 20, yang memandu Perodua Kancil, manakala seorang lagi penumpang kereta Nissan Almera, Zainab Abdullah, 68.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, siasatan awal mendapati kemalangan pukul 8.10 pagi itu berlaku apabila  Perodua Kancil yang dipandu 

Nurasyraf Afif memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Nissan Almera yang dinaiki pasangan warga emas berusia 71 dan 68 tahun.

Kedua-dua mangsa maut ditempat kejadian, manakala pemandu Nissan Almera, Abas Mohtar mengalami kecederaan.

Sementara itu, Junaidah Mohtar, 64, adik ipar kepada Allahyarhamah Zainab berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah ketika majlis yasin seminggu sebelum Ramadan di rumahnya di Mersing.

“Arwah sempat meminta maaf  dan memberitahu Aidilfitri kali ini mungkin hari raya terakhir baginya.

“Saya dimaklumkan arwah dalam perjalanan pulang lepas hantar cucunya yang baru masuk ke Kolej Vokasional Kota Tinggi.  Setiap hari dia dan suami akan hantar dan jemput cucunya itu pulang,” katanya sambil memberitahu jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Sibol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya