Hidup sendiri di usia senja, Basiron tidak lagi mengharap

Hidup sendiri di usia senja, Basiron tidak lagi mengharap keluarga

PENASIHAT Rumah Warga Emas Taman Komuniti Bukit Larang, Datuk Akramuddin Abd. Aziz mengenakan baju baharu kepada Basiron Mohd. Ali di sebuah pusat membeli-belah di Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang warga emas, Basiron Mohd. Ali, 67, sudah tidak menaruh harapan kepada anak-anaknya yang mana setelah berpisah dengan isteri lapan tahun lalu, kehidupannya berubah begitu drastik.

Menurutnya, dia kini hidup sebatang kara serta tiada lagi rumah yang boleh dipanggil kediaman sendiri.

“Saya sekarang hanya menghabiskan hari-hari tua di Rumah Warga Emas Taman Komuniti Bukit Larang, Telok Emas, sejak tujuh tahun lalu.

“Saya sudah tidak mengharap anak-anak datang menjenguk. Kalau mereka ingat, mereka datang, kalau tidak, saya sudah biasa sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dengan nada pasrah.

Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Cik Haron berasal dari Pengkalan Rama Pantai di sini, sebelum ini pernah melakukan pelbagai jenis pekerjaan termasuk kerja kilang, buruh kontrak serta mencuci pinggan bagi menyara hidup.

Ujarnya, selepas perpisahan, hidupnya seakan terumbang-ambing terpaksa menumpang di masjid-masjid sekitar negeri ini seperti Masjid Pengkalan Rama dan Bukit Cina untuk berteduh dan mendapatkan makanan.

“Saya pernah hidup merata selepas berpisah. Tidur di masjid-masjid, makan pun di situ. Masjid Pengkalan Rama, Bukit Cina, semua pernah jadi tempat berteduh saya.

“Saya mempunyai empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan. Masing-masing sudah ada keluarga sendiri. Kami jarang berjumpa, hanya jumpa jika ada urusan tertentu,” katanya.

Bagi Basiron, kehidupannya sekarang hanyalah ingin mencari ketenangan di rumah warga emas itu.

“Saya cuma mahu sihat supaya boleh ke masjid, belajar agama, menghadiri program ilmu. Itu sudah cukup bagi saya,” katanya yang sering ke Masjid Selat Melaka untuk beribadah.

Menjelang Aidilfitri, dia menyatakan langsung tidak berkecil hati jika tiada kunjungan daripada anak-anak.

“Saya gembira dengan apa yang ada. Biasanya saya akan masak sendiri, kari ayam atau asam pedas. Itu sudah cukup untuk saya rasa suasana raya,” katanya.

Basiron ditemui bersama 40 kanak-kanak golongan asnaf dan anak yatim serta lapan warga emas pada Majlis Sumbangan Baju Raya Asnaf dan Anak Yatim serta Penghuni Rumah Warga Emas Taman Komuniti Bukit Larang, anjuran UMNO Cawangan Baroh Alai, baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya