JOHOR BAHRU: Seorang tukang jahit, Nana Nurizuna Ismail resah dan hiba apabila lebih 20 baju raya pelanggan rosak setelah berendam air lumpur banjir yang melanda Kampung Maju Jaya, Rabu lalu.
Nana, 39, berkata, lebih menyedihkan apabila ada pelanggan yang mahu mengambil baju raya yang dihantar ke kedainya itu lebih awal untuk sesi fotografi sedondon bersama keluarga sebelum Aidilfitri tiba.
Katanya, dia berasa ralat tidak dapat selamatkan baju pelanggan tersebut kerana tidak menjangkakan banjir yang berlaku akan terjadi seteruk ini.
“Ketika banjir berlaku, saya berada di kedai dan telah mengalihkan semua pakaian pelanggan ke tempat lebih tinggi sebelum pulang ke rumah bagi tengok keadaan rumah yang berada di kawasan lebih rendah.
“Keesokan harinya, air naik begitu cepat dan kami kelam kabut menyelamatkan barangan penting di rumah sebelum berpindah keluar dengan menaiki lori. Ketika melalui kedai saya, saya nampak air sudah naik hampir paras satu meter, dan petang itu paras air terus naik lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Nana berkata, selain menerima tempahan menjahit baju raya, dia turut mengubahsuai pakaian yang dihantar ke kedainya yang telah beroperasi sejak tiga tahun lalu.
Katanya, ada pelanggan dalam kalangan penduduk kampung itu memahami keadaan yang dialaminya dan tidak meletakkan kesalahan pada dirinya atau meminta ganti rugi.
“Mana-mana baju pelanggan yang berwarna cerah, kesan air lumpur banjir itu nampak ketara, tidak pasti sama ada ia boleh digunakan atau hilang kesannya apabila dicuci. Baju yang dihantar pelanggan juga bukan murah, macam mana saya nak ganti baju itu. Tambahan pula, Aidilfitri semakin hampir,” katanya.
Katanya, dia sendiri juga terpaksa menanggung kerugian setelah mesin jahit dan perkakasan jahitannya rosak ditenggelami banjir dengan anggaran hampir RM10,000.-UTUSAN