PETALING JAYA: Semua pihak perlu menghentikan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan provokasi, kemarahan, dan ketegangan dalam masyarakat termasuk mempermainkan serta mempersendakan ajaran Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, keamanan dan kesejahteraan negara hanya dapat dikekalkan melalui sikap saling menghormati serta memahami antara masyarakat.
“Dalam bulan Ramadan yang penuh mulia ini, semua pihak dinasihatkan untuk mengamalkan sikap hormat-menghormati serta menjaga adab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata, Jakim memandang serius tindakan seorang individu yang memuat naik kandungan media yang jelas mempermainkan serta mempersendakan ajaran Islam yang telah tular di media sosial.
Katanya, Jakim telah melaporkan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tindakan lanjut terhadap kandungan yang menyentuh sensitiviti agama Islam.
“Selain itu, laporan polis juga telah dikemukakan bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap individu berkenaan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Jakim menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Katanya, kenyataan di media sosial tersebut telah jelas mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat, malah berpotensi menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum.
“Oleh itu, semua pihak harus menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi, kemarahan, dan ketegangan dalam masyarakat,” katanya.