Setiap kali Ramadan, pasti ada lambakan bufet berbuka puasa yang dianjurkan oleh restoran atau hotel ternama dengan harga yang berpatutan untuk orang ramai kunjungi.
Lebih menarik lagi, bufet Ramadan juga memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati pelbagai makanan istimewa dari restoran dan hotel ternama tersebut.
Bagi Hazwan Haziq Rosebi, 37, dia sangat teruja setiap kali Ramadan kerana momen ini bukan sahaja membolehkannya meneroka bufet berbuka sepuas hati tetapi dapat menikmati kepelbagaian hidangan.
“Saya suka buffet hunting ketika berpuasa. Pada awal Ramadan, kebiasaannya kita akan berbuka bersama keluarga dahulu.
“Kemudian, baru saya akan mulakan pencarian bufet Ramadan bersama keluarga selepas beberapa minggu berpuasa,” katanya kepada Pancaindera.
Tambah Haziq, dia tidak mahu melepaskan peluang tersebut memandangkan Ramadan hanya setahun sekali bahkan, harga yang ditawarkan pada hari biasa juga agak mahal.
“Yang paling saya suka, bufet Ramadan sering menyediakan pelbagai juadah berbuka yang lengkap dan menyelerakan. Jadi, kita boleh nikmati setiap makanan puas-puas,” jelasnya.
Kata bekas peserta Akademi Fantasia Musim Keempat (AF4) itu, dia pernah berkunjung ke bufet Ramadan hampir setiap hari kerana terpengaruh dengan apa yang dilihat di media sosial.
Malah, penyanyi lagu Lemak Manis itu juga sering menerima undangan untuk membuat persembahan di majlis-majlis berbuka puasa.
“Pernah sekali itu, boleh dikatakan setiap hari juga saya berbuka puasa di restoran yang menyediakan bufet Ramadan.
“Selalunya, saya akan buat perancangan itu secara spontan sahaja dan pada saat akhir kerana sering melihat review makanan di media sosial. Lagipun, pada bulan puasa juga saya kerap menerima undangan ke majlis-majlis berbuka puasa.
“Dalam masa sama, memudahkan urusan isteri saya juga kerana tidak perlu memasak untuk berbuka,” katanya.
Meskipun terdapat banyak tempat makan yang menawarkan harga berpatutan, sudah tentu perbelanjaannya juga akan berganda.
Menurut Haziq, dia tidak kisah berbelanja lebih untuk keluarganya selain mahu memuaskan nafsu makannya setelah seharian menahan lapar dan dahaga.
“Selain mahu memenuhi selera makan sendiri, saya tidak kisah jika perlu berbelanja lebih untuk keluarga kerana sebahagian daripada rezeki saya ada untuk mereka. Saya percaya jika kita berkongsi rezeki, Allah akan gandakan rezeki kita,” ujarnya.