Sejak menggenakan hijab, tidak dinafikan, pelakon berusia 43 tahun ini kelihatan lebih manis dan cantik, sekali gus menyerlahkan lagi kesempurnaannya sebagai seorang wanita muslimah.
Menuai banyak pujian daripada peminat dan pengikut setia, Nora Danish bagaimanapun sedar bahawa jalan ke arah menjadi muslimah sejati ini membawanya kepada lembah ekspektasi tinggi orang ramai.
Perkara itu cukup kemas tersimpan rapi di isi kepalanya namun kerana enggan terlalu menekan diri, Nora lebih selesa menerima semua pandangan perlahan-lahan, satu demi satu.
“Tak dinafikan di situ ada tekanannya. Sebab bila sudah berimej begini ekspektasi orang akan jadi lebih tinggi. Namun, saya lebih suka ambil langkah satu per satu. Perubahan saya pun boleh dikatakan terus drastik.
“Daripada imej sebelum kepada yang sekarang ini. Bila saya belajar daripada ustaz atau ustazah, mereka pun menyarankan saya supaya ambil langkah satu per satu.
“Saya terima nasihat itu perlahan-lahan. Sebelum ini, kalau di bulan Ramadan ini saya cuba khatam Al-Quran, sekarang pun saya akan cuba buat lebih amalan untuk dekatkan diri dengan Allah. Dalam masa lapang saya cuba juga nak khatam Al-Quran, Insya-Allah,”katanya.
Selain itu, kongsi pelakon filem Sayu Yang Syukur dan Polis Evo 3 ini, pengalaman melakukan Umrah baru-baru ini juga membuka hatinya untuk lebih mencintai Allah.
Pada masa yang sama akui Nora, perasaannya juga lebih tenang dan berbunga bahagia kerana kini lebih memahami setiap makna ibadah yang dilakukan ketika di Tanah Suci.
“Pengalaman yang sangat berbeza kerana apabila kita sudah berubah ini, jadi bila kita pergi ke sana, hati itu dipenuhi dengan perasaan lebih mencintai Allah dan Rasul. Secara kerohaniannya ia sangat berbeza.
“Tentunya di sana ramai sangat orang, tetapi berhimpit-himpit pun hati itu rasa sangat bahagia. Sebab kita tahu, ramai orang datang sana dengan tujuan yang sama iaitu mencari keredhaan Allah.
“Saya bersyukur sangat kerana dapat jemputan dari Allah ini di kala saya betul-betul telah berhijrah,”katanya.
JODOH
Ditanya sama ada antara doanya ketika berada di Tanah Suci adalah untuk dikurniakan jodoh, Nora sempat tertawa kecil.
“Saya pergi juga ke Jabal Rahmah, ada juga terfikir nak doa apa ya di sana? Saya pun tak pernah cakap tak nak berkahwin lagi. Di hati saya ini belum tertutup perasaan untuk bertemu jodoh lagi selepas ini.
“Cuma saya berdoa, biarlah saya berubah dahulu menjadi insan yang lebih baik, Insya-Allah, Dia juga akan kurniakan insan yang baik untuk saya.
“Saya tahu diri ini tidaklah sempurna, tetapi dengan perubahan baik yang saya lakukan ini mungkin Allah kurniakan saya jodoh yang baik buat saya, dan kami punyai tujuan yang sama, Insya-Allah,”ujarnya.
Diusik seandainya saat ini dirinya sudah bertemu dengan jejaka pilihan yang mengisi ruang hati solonya, kata Nora, tiada dan masih belum menemui cinta baharu.
“Cuma apabila kita berstatus single ini, bila kita dapat sertai kelas-kelas ilmu dan berjumpa ustaz yang single juga itu adalah orang sering kenen-kenenkan.
“Mungkin sebab kita ini memang selebriti, kita sudah biasa dengan orang usik-usik manja atau kenen-kenenkan dengan sesiapa itu maka hal seperti itu tidak memberi tekanan buat saya.
“Setakat ini apa yang boleh saya beritahu, saya tiada sesiapa dan masih lagi solo,”katanya.
Dalam pada itu, Nora juga tidak menolak bahawa proses istiqamah ini pada hakikatnya tidak mudah apalagi banyak godaan di kiri dan kanan yang harus ditentang dengan iman yang teguh.
Satu kata yang terpacul daripada mulut pelakon ini, hijrah itu senang namun untuk kekal istiqamah itu sukar.
“Istiqamah ini daripada bermacam sudut. Nak kekal disiplin solat awal waktu atau bila biasa berzikir ada masa kita rasa malas.
“Saya doa Allah kekalkan rasa sedih, sayu dan rasa berdosa ini selama-lamanya di hati.
“Petua untuk istiqamah memang saya tiada tetapi saya berdoa supaya diri sentiasa dikelilingi orang-orang yang mendekati Allah,”ujarnya.-UTUSAN