PASIR GUDANG: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak berhasrat untuk bertanding jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor atau mana-mana jawatan pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mei ini.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, langkah itu bagi memberi peluang kepada pelapis dan pemimpin muda bermula dari peringkat cabang sampai peringkat tertinggi.
Katanya, ini termasuk tidak bertanding bagi jawatan di peringkat cabang pada April ini.
“Masa saya sudah berlalu, bagi orang muda pula memberi sumbangan mereka. Saya juga sudah berkhidmat, tidak mahu lagi bertanding atas faktor usia (74 tahun).
“Saya seru pemimpin PRK yang sudah veteran supaya beri laluan kepada orang muda. Saya tidak ada isu (sebab tidak bertanding),” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau masalah sampah dan longkang tersumbat di Bandar Permas Jaya di sini, hari ini.
Pada 26 Januari lalu, PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti itu akan diadakan pada 24 Mei ini.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang pula dilakukan pada 11 hingga 20 April ini.
Ketika ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) bagi dua buah negeri iaitu Johor dan Wilayah Persekutuan sejak 2022.
Hassan berkata, pemilihan yang dilakukan sebelum pilihan raya umum (PRU) itu membuktikan parti tersebut kini dalam kedudukan mantap dan percaya proses berkenaan juga tidak akan memecah-belahkan parti.