PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kerana faktor usia dan mahu memberi peluang kepada pemimpin muda dalam PKR.
Beliau yang mewakili Pasir Gudang sejak PRU14 pada 2018 berkata, keputusannya itu sejajar dengan pendiriannya sebelum ini untuk tidak bertanding dalam pemilihan PKR.
“Tetapi bukan itu sahaja, saya mengulangi lagi pengumuman sebelum ini, saya tidak akan bertanding dalam PRU16,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan PKR Pasir Gudang.
Hassan berkata, perjuangannya sepanjang berkhidmat untuk memperkukuhkan parti di kawasan itu bukanlah mudah, malah melalui pelbagai kekalahan sebelum mencapai kemenangan.
“Parlimen P159 Pasir Gudang wujud bermula dalam PRU 2004, PKR bertanding dan kalah. PRU 2008 dan 2013 juga kita kalah.
“Tetapi anggota, penyokong serta pimpinan PKR Pasir Gudang tidak kenal putus asa. Akhirnya, dalam pilihan raya berikutnya pada PRU14 (2018) dan PRU15 (2022), PKR menang.
“Kemenangan itu telah membantu PKR menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan pada kedua-dua pilihan raya tersebut,” katanya.
Hassan sering dilihat sebagai pengkritik lantang terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun beliau berada dalam blok kerajaan.
Sebelum ini, Hassan pernah mendedahkan bahawa Anwar memberi ‘lampu hijau’ kepadanya untuk menulis apa sahaja, kecuali mengkritik institusi raja.
Pada November lalu, beliau dihadapkan ke Lembaga Disiplin PKR susulan aduan bahawa kenyataan terbukanya mengkritik kerajaan berhubung penganugerahan rangkaian 5G kedua telah merosakkan imej parti.
Sementara itu, Hassan turut meluahkan kekecewaan terhadap perubahan sistem pemilihan kepimpinan PKR yang kini menggunakan sistem undi perwakilan, berbanding kaedah satu anggota, satu undi sebelum ini.
Katanya, perubahan tersebut menjejaskan prinsip demokrasi dalam parti kerana keputusan pemilihan kini hanya ditentukan oleh perwakilan terpilih, bukan keseluruhan anggota akar umbi.
“Saya amat kecewa dan berdukacita kerana prinsip satu anggota, satu undi tidak lagi digunakan dalam pemilihan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR.
“Sistem sebelum ini memberikan kuasa langsung kepada setiap anggota untuk memilih kepimpinan tertinggi,” katanya.
Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, pihaknya akur dengan keputusan Kongres Khas PKR yang meluluskan perubahan itu, meskipun tidak bersetuju dengannya.
“Saya tidak mahu isu ini berpanjangan sehingga disebut ‘rumah siap, pahat berbunyi’.
“Namun, sebagai rekod, saya perlu menyatakan pendirian saya bahawa perubahan ini bukan sesuatu yang saya sokong,” katanya. – UTUSAN