PASIR GUDANG: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim turut meluahkan kekecewaan terhadap perubahan sistem pemilihan kepimpinan PKR yang kini menggunakan sistem undi perwakilan berbanding kaedah satu anggota, satu undi sebelum ini.
Kata bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, perubahan tersebut menjejaskan prinsip demokrasi dalam parti kerana keputusan pemilihan kini hanya ditentukan oleh perwakilan terpilih, bukan keseluruhan anggota akar umbi.
“Saya amat kecewa dan berdukacita kerana prinsip satu anggota, satu undi tidak lagi digunakan dalam pemilihan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR.
“Sistem sebelum ini memberikan kuasa langsung kepada setiap anggota untuk memilih kepimpinan tertinggi,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan PKR Pasir Gudang semalam.
Menurutnya, beliau akur dengan keputusan Kongres Khas PKR yang meluluskan perubahan itu, meskipun tidak bersetuju dengannya.
Pada majlis itu, beliau mengulangi keputusannya tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kerana faktor usia dan mahu memberi peluang kepada pemimpin muda dalam PKR.
Beliau yang mewakili Pasir Gudang sejak PRU14 pada 2018 berkata, perjuangannya sepanjang berkhidmat untuk memperkukuhkan parti di kawasan itu bukanlah mudah, malah melalui pelbagai kekalahan sebelum mencapai kemenangan.
“Parlimen Pasir Gudang wujud bermula dalam PRU 2004, PKR bertanding dan kalah. PRU 2008 dan 2013 juga kita kalah.
“Tetapi anggota, penyokong serta pimpinan PKR Pasir Gudang tidak kenal putus asa. Akhirnya, dalam pilihan raya berikutnya pada PRU14 (2018) dan PRU15 (2022), PKR menang.” katanya.