Hasrat raih pingat tidak kesampaian

Hasrat raih pingat tidak kesampaian

JENAZAH Muhammad Haziq Uzayr Hairudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tunku Sallehuddin, Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Rakan ke­pada Allahyarham Muhammad Haziq Uzayr Hairudin, 17, yang me­ninggal dunia semasa me­nyertai acara merentas desa di sebuah sekolah di sini, kelmarin terkilan kerana tidak berjaya meraih pingat bersama-sama.

Putra Hafiz Zaidi, 17, berkata, mereka berdua menyasarkan untuk memperoleh pingat pada larian itu berikutan acara tersebut merupakan aktiviti sukan pertama sejak sesi persekolahan tahun ini dibuka 12 hari lalu.

“Kami janji hendak sampai ke garisan penamat sama-sama tetapi tidak sangka dia pergi dahulu. Memang kami bersema­ngat dan mahu tiba ke garisan penamat lebih awal tetapi dia memecut laju meninggalkan saya di belakang.

“Bila tiba di garisan penamat saya nampak dia rebah tidak sedarkan diri sebelum guru bertugas dan pelajar yang merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) memberi rawatan kecemasan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini me­laporkan seorang pelajar sebuah sekolah menengah yang aktif bersukan meninggal dunia selepas rebah dipercayai ketika menyertai aktiviti merentas desa.

MUHAMMAD HAZIQ UZAYR HAIRUDIN

Tambah Putra Hafiz, ketika kejadian dia tidak memikirkan perkara buruk akan menimpa rakannya, sebaliknya beranggapan Muhammad Haziq kepenatan selepas menghabiskan larian.

“Tetapi selepas melihat dia kaku ketika dibawa ambulans ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), saya rasa sesuatu yang serius telah menimpanya dan tidak lama kemudian kami dimaklumkan Muhammad Haziq meninggal dunia.

“Malam sebelum kejadian kami sempat minum bersama beberapa lagi rakan di sebuah warung dan menyedari perubahan sikapnya daripada seorang yang suka berseloroh kepada pendiam,” katanya.

Seorang lagi rakan Allahyarham, Saifuddin Norman, 17, pula memaklumkan, mereka sempat keluar memancing di Kuala Ketil sehari sebelum kejadian serta menghantarnya pulang ke rumah.

“Dia berjanji untuk menemani saya ke Kampung Pinang Tunggal, Kepala Batas di Pulau Pinang untuk menghantar enjin motosikal saya yang rosak untuk dibaiki. Namun saya ter­kejut apabila menerima berita kehilangan seorang rakan yang baik dan rapat,” katanya.

Sementara itu, abang sulung Allahyarham, Muhammad Haazim, 25, berkata, mereka seke­luarga mahu mengetahui punca kematian arwah yang diketahui tidak menghidap sebarang pe­nyakit dan aktif bersukan.

“Sehingga kini kami belum menerima sebarang laporan berkaitan kematian adik, tetapi segala keputusan itu juga akan kami terima dengan hati ter­buka kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan ­Azharuddin Wan Ismail berkata, bedah siasat telah selesai dijalankan pihak hospital dan beberapa sampel biologi yang diambil masih menunggu keputusan analisis makmal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya