Hasrat jadi pemain atlet bola sepak, lebur - Zamshuri Ramli

Hasrat jadi pemain atlet bola sepak, lebur – Zamshuri Ramli

Hasrat jadi pemain atlet bola sepak, lebur - Zamshuri Ramli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMINAT drama Skuad Elit yang popular pada tahun 2003 pasti sinonim dengan pelakon, Datuk Dr. Nor Zamshuri Ramli yang sebelum itu dikenali menerusi dunia peragaan.

Agak lama menghilang dari radar dunia seni tanah air, kali terakhir Zamshuri muncul di kaca televisyen adalah menerusi drama transit terakhir sekitar lapan tahun lalu.

Baru-baru saya menelefon beliau, bertanya khabar. Perbualan kami berkisar tentang latar belakang dan pembabitan beliau sebagai anak seni.

Zamshuri merupakan anak kelahiran, Taiping, Perak yang membesar di Kampung Pinang, Kem Sungai Besi Kuala Lumpur.Beliau dibesarkan pegawai tentera yang berkhidmat di perpustakaan Maktab Tentera Diraja. 

“Masa kecil, saya sering ikut ayah ke tempat kerjanya. Di situ saya didedahkan dengan banyak bahan bacaan terutamanya dalam bidang kewangan kerana saya minat aliran itu. 

“Jadi tak kata dari kecil ada minat dunia seni itu, tidaklah walaupun ayah saya mahir melukis dan menulis khat, manakala ibu pula berbakat dalam tilawah al-Quran,” katanya.

Selain kewangan, Zamshuri juga aktif bersukan, sering menyertai kejohanan lumba lari, lompat tinggi dan hoki ketika belajar di sekolah menengah. 

Tapi kalau diikutkan, kecenderungan beliau adalah kepada sukan bola sepak kerana dulu pelakon ini pernah bercita-cita mahu menjadi pemain profesional.

“Saya diterima masuk ke Victoria Institution (tingkatan 4-5) pun disebabkan pencapaian yang baik dalam mata pelajaran dan sukan bola sepak.

“Saya pernah wakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam Kejohanan Piala Coke Bawah 14 Tahun dan Piala Razak Bawah 19 Tahun. 

“Tapi ditakdirkan Tuhan, saya mengalami kecederaan ACL ketika berusia 19 tahun. Disebabkan itu, segala cita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional terus terkubur.

“Saya terus lupakan impian itu. Tambahan pula, masa itu ibu bapa saya sudah tidak lagi bekerja. Jadi, saya fokuskan kepada pelajaran dan kemudian membina kerjaya dalam bidang kewangan,” ceritanya.

DIBAYAR RM35,000 SEBAGAI MODEL

Pelakon berusia 54 tahun ini melunaskan hasrat bergelar pegawai bank ketika menyertai Bank Simpanan Nasional pada usianya mencecah 19 tahun.

Beliau ditakdirkan menjadi model sambilan ketika berkhidmat di bahagian perkhidmatan pelanggan di salah sebuah cawangan bank itu yang terletak di Daya Bumi.

“Satu hari saya didatangi dua orang berdarah Inggeris yang memperkenalkan diri mereka sebagai kakitangan agensi peragaan yang diasaskan Datuk Yasmin Yusuff. Mereka menghulurkan saya kad perniagaan dan menjemput saya hadir sesi casting di studio agensi itu. 

“Saya tidak pernah terfikir mahu menjadi seorang model, tapi berminat untuk mencuba bidang itu pada waktu tersebut.

“Jadi, saya hadir ke sesi fotografi yang mereka anjurkan. Tidak lama selepas itu, saya dimaklumkan agensi berkenaan yang sebuah jenama rokok antarabangsa berminat untuk melantik saya sebagai model untuk iklan mereka. 

“Saya terkejut apabila dimaklumkan bakal dibayar RM35,000 dan mengikat kontrak tiga tahun sebagai model jenama itu. Itu adalah tawaran peragaan paling lumayan yang saya terima,” katanya.

Dunia peragaan membuka pintu kepada Zamshuri untuk masuk pula ke dalam dunia lakonan. 

Antara drama terawal lakonannya adalah menerusi drama Sekuntum Mawar Merah bersama Rushdi Ramli dan Nana Nurgaya. 

“Bayangkan, saya, seorang yang tiada pengalaman berlakon, ditawarkan watak pembantu iaitu perampas kekasih orang lain. 

“Ketika itulah saya tahu saya berbakat dalam lakonan. Kru penggambaran menyangka saya pelakon berpengalaman yang sebelum itu pernah melakonkan watak-watak ekstra, walhal lakonan pada itu bidan terjun untuk saya,” ujarnya. 

Bertitik tolak saat itu, Zamshuri tidak menoleh kebelakang. Sepanjang pembabitan dalam bidang lakonan, beliau sudah pun menjayakan lebih 100 drama dan telefilem, tiga drama VCD, sebuah filem antarabangsa dan beberapa buah filem tempatan. 

Antara drama yang melonjakkan namanya adalah Skuad Elit yang diterbitkan pada tahun 2003.

PENGALAMAN HITAM

Apabila diminta berkongsi pengalaman lakonan menarik, Zamshuri memetik dua kejadian ketika menjayakan drama Skuad Elit.

Antara momen tidak dapat dilupakan beliau adalah apabila beliau pitam beberapa saat selepas menerima tembakan peluru getah pada jarak dekat.

“Saya lengkap menyarungkan vest kalis peluru ketika menjayakan babak tersebut. 

“Namun entah bagaimana peluru getah yang ditembak mengenai dada serta merta membuatkan saya jatuh pitam.

“Kejadian itu membuatkan saya fobia. Selepas itu, saya sebolehnya akan mengelak kalau diminta melakonkan babak seperti itu,” ujarnya.

Selain babak tembakan, Zamshuri juga mengimbau saat hampir lemas ketika menjayakan sebuah babak yang dilakonkan di laut berdekatan Pelabuhan Klang.

“Air laut yang disangka tenang rupanya bergelora di bawahnya. Saya, yang memakai jaket keselamatan sebelum melompat ke dalam laut, bergelut disebabkan arus deras.

“Itu juga kejadian nyaris maut yang saya alami ketika menjayakan drama itu. Nyaris ketika itu ada bot penyelamat yang datang menyelamatkan saya,” kongsinya.

SHAH RUKH KHAN

Selain pelakon, Shaharuddin Thamby, Zamshuri juga antara pelakon tempatan yang terpilih menjayakan filem Don- The Chase Begins yang turut dibintangi bintang Bollywood Shah Rukh Khan, Priyanka Chopra dan ramai lagi.

Meskipun hanya terbabit dalam tiga buah babak, Zamshuri tetap bersyukur kerana berpeluang berkongsi satu lensa dengan Shah Rukh Khan.

“Dalam babak tersebut, saya perlu melakonkan aksi terkena bola golf yang dipukul beliau untuk membunuh watak saya dalam cerita itu. 

“Saya tak sangka Shah Rukh Khan akan datang menyapa saya bertanyakan sama ada saya okey selepas melakonkan babak itu.

“Itu adalah pengalaman menyeronokkan yang tidak akan saya lupakan saya bila-bila kerana saya amat meminati beliau,” kongsinya.

Kongsi Zamshuri, beliau bertindak menolak tawaran untuk terlibat dalam rangkaian ketiga dan keempat filem itu disebabkan bayaran yang tidak berpatutan.

“Bagi saya agak tidak berbaloi kerana bayaran yang diberikan terlalu rendah, babak yang ditawarkan juga tidak berdialog.

“Jadi saya tolak, tambahan waktu itu saya sudah sibuk dengan kerja lain,” katanya.

MINAT MASIH MENEBAL

Zamshuri baru-baru ini dipilih sebagai antara penerima Anugerah Bintang Usahawan Negara atas pencapaiannya menjadi mentor yang melahirkan ramai usahawan berjaya. 

Namun dalam meniti kejayaan dalam bidang keusahawanan, beliau tidak pernah terus melupakan kecintaannya terhadap dunia lakonan. 

Malah, keinginan untuk kembali berlakon masih menebal dalam dirinya.

“Saya memang masih ingin berlakon. Saya rindu suasana di set penggambaran, yang mana hubungan kru dan pelakon bagaikan sebuah keluarga besar. 

“Saya tahu saya memang tidak boleh tinggalkan dunia lakonan. Kau boleh memang saya nak aktif semula, bagilah apa-apa watak waima ekstra sekalipun, saya terima,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya