GUA MUSANG: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, jalan sempadan Pahang dan Kelantan sesak dengan kenderaan perantau yang ingin pulang ke kampung halaman.
Tinjauan mendapati, perantau yang pulang ke Kelantan terpaksa mengharungi lebih empat jam perjalanan sejauh kira-kira 30 kilometer dari Merapoh, Pahang ke Kampung Mentara di sini, susulan susur keluar ke Gua Musang dibuka satu lorong.
Seorang perantau yang bekerja sebagai juruteknik di Kuala Lumpur, Mohamad Awal Asraf Zimi, 26, berkata, dia terpaksa mengharungi kesesakan sehingga lebih empat jam sebelum tiba di Hentian Gua Musang.
Katanya, kadar kelajuan kenderaannya ketika melalui jalan itu adalah 10 hingga 20 kilometer.
“Kami sampai di Merapoh sekitar pukul 5 pagi dan kenderaan sangat perlahan sehingga sampai di Kampung Mentara di sini. Masalah berlaku apabila dari jalan Merapoh yang mempunyai dua lorong menjadi satu lorong dan lebih memburukkan keadaan apabila pengguna jalan lama Kampung Mentara juga ingin memasuki jalan yang sama.
“Jadi saya harap projek ini dapat dipercepat pembinaannya kerana kami perantau terpaksa berhadapan masalah sama hampir tiga tahun,” katanya ketika ditemui di Hentian Gua Musang, di sini.
Seorang lagi perantau, Saiful Basri Rahman, 34, pula berkata, kesesakan jalan yang berlaku menyebabkan ada pengguna terpaksa berhenti di tepi jalan kerana kenderaan mengalami masalah dan ingin menghilangkan penat.
Dia berharap jalan di Kampung Mentara yang terbabit dengan pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej 3D dari Kampung Mentara ke Bulatan Gua Musang dapat dipercepat.-UTUSAN