GEORGE TOWN: Harga beberapa jenis sayur-sayuran di pasar awam khususnya di daerah Barat Daya di sini didapati meningkat menjelang Ramadan.
Permintaan yang tinggi dikatakan menjadi antara punca menyebabkan harga melonjak dan ada peniaga mendakwa, mereka memperoleh harga agak tinggi daripada pembekal.
Antara yang mengalami kenaikan kali ini adalah terung, tomato, cili merah dan bendi.
Peniaga, Abdul Rahman Hanafi berkata, harga terung meningkat dengan ketara pada masa ini iaitu sekitar RM15 sekilogram berbanding hanya RM10 bulan lalu.
“Cili merah pula kekal menjadi antara sayuran yang agak mahal harganya iaitu sekitar RM16 hingga RM18 sekilogram pada masa ini.
“Sebelum ini pun, harga cili naik sehingga RM22 sekilogram tetapi sekarang ada penurunan sedikit, manakala harga cili padi pula sekitar RM10 sekilogram,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Azizah Arifin berkata, dia terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih tinggi menjelang Ramadan memandangkan harga sayur-sayuran meningkat.
“Sayur memang ada banyak tetapi harganya naik, macam cili merah pun harga tinggi. Saya tetap kena beli sebab cili merah antara sayuran yang diperlukan dalam masakan sambal,” katanya. – UTUSAN