PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit RON97 sebanyak 10 sen kepada RM3.28 seliter bagi tempoh esok hingga 19 Mac ini.
Pada masa sama, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia juga turun sebanyak 7 sen kepada RM3.06 seliter seiring perubahan harga pasaran minyak.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Penetapan harga runcit produk petroleum menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism.
“Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter dan dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga kekal pada paras RM2.15 seliter,” katanya hari ini.
MOF berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – UTUSAN