PORT DICKSON: Hidangan berasaskan lamb shank merupakan makanan popular yang sering mendapat sambutan pembeli di bazar-bazar Ramadan.
Walaupun harga jualannya semakin meningkat berbanding sebelum ini, permintaan dalam kalangan pelanggan tidak pula berkurangan.
Peniaga, Salman Salih Shuaib, 34, berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan kepada RM49 berbanding RM39 sebelum ini kerana harga bahan mentah iaitu lamb shank naik mendadak.
“Namun begitu, kami pastikan lamb shank kami bersaiz besar iaitu seberat 500 gram ditambah pula dengan nasi beriani yang enak dan berkualiti.
“Cara pembungkusan pula kami gunakan bekas bersaiz besar dan bekas yang boleh dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro supaya dapat memudahkan pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bazar Ramadan Batu 4 di sini.
Salman Salih berkata, selain nasi beriani lamb shank, dia turut menjual menu lain antaranya nasi beriani ayam bawang dan nasi beriani kambing.
“Bagi saya pelanggan sudah bijak membeli, jika sesuatu menu yang dijual sedap serta dijual pula pada harga berpatutan, mereka akan tetap membeli.
“Alhamdulillah sejak hari pertama berpuasa, sehingga kini sambutan yang diterima daripada pelanggan sangat baik walaupun harga jualan sedikit naik,” katanya yang menyediakan sekitar 160 hingga 200 set nasi beriani setiap hari. – UTUSAN