Harapkan tangki air, pencawang telekomunikasi yang tiba

Harapkan tangki air, pencawang telekomunikasi yang tiba

PENDUDUK berhimpun menyuarakan bantahan terhadap pembinaan pencawang telekomunikasi di Jalan TP8, Taman Terendak Permai, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lebih 3,000 penduduk di Taman Terendak Permai, Sungai Udang di sini menyuarakan bantahan terhadap keputusan pihak berwajib menyewakan tanah rizab tangki air bagi pembinaan pencawang telekomunikasi.

Tanah berkeluasan kira-kira 0.037 hektar di Jalan TP8 itu sepatutnya diperuntukkan untuk pembinaan tangki air bagi menyelesaikan masalah tekanan air rendah yang membelenggu penduduk sejak lebih satu dekad.

Namun, penduduk kecewa apabila mendapati, kerja-kerja pembersihan tapak telah dimulakan sejak dua hari lalu tanpa sebarang papan tanda makluman atau perbincangan dengan mereka.

Wakil penduduk, Muhammad Asraf Abdullah, 49, meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap tindakan pihak berwajib yang didakwa mengetepikan kebajikan penduduk demi keuntungan pihak tertentu.

“Kami telah lama berdepan masalah tekanan air rendah, tetapi keutamaan tetap diberikan kepada pencawang. Ini bukan tanah komersial, ini tanah komuniti.

“Pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini dengan teliti dan kami bercadang untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar keadilan ditegakkan.

“Jika kerajaan negeri serius dalam menjaga kebajikan rakyat, mereka perlu membatalkan projek ini serta-merta. Jangan abaikan hak penduduk demi keuntungan pihak tertentu,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bersama penduduk di lokasi pembinaan pencawang telekomunikasi, hari ini.

Nada sama turut disuarakan warga emas, Ideris Jaffar, 60, yang mendakwa, masalah utama yang membelenggu mereka bukanlah liputan telekomunikasi, tetapi tekanan air yang sering terganggu.

“Kami sudah menetap di kawasan ini selama lebih 20 tahun. Penduduk tidak menghadapi sebarang masalah dengan liputan telekomunikasi tetapi amat memerlukan sistem bekalan air yang lebih stabil.

“Kami sudah cukup dengan enam pencawang di kawasan ini, tidak perlu tambah lagi. Yang kami perlu adalah air. Bekalan air adalah keperluan asas, tapi keutamaan diberikan kepada pencawang. Ini sangat tidak adil,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof menegaskan, beliau telah berusaha mendapatkan penjelasan rasmi, namun menemui jalan buntu.

“Kami cuba berhubung dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang untuk mendapatkan maklumat lanjut. Mereka hanya memaklumkan akan mengadakan sesi dialog tidak lama lagi dan mengundang saya untuk turut serta. Tetapi, dalam masa yang sama, kerja-kerja pembinaan tetap diteruskan.

“Saya juga dimaklumkan perjanjian telah ditandatangani untuk pembinaan pencawang berkenaan, dan projek itu kini sedang berjalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya