Hanyut dalam alam semula jadi, itulah bahasa Tuhan bagi saya

Hanyut dalam alam semula jadi, itulah bahasa Tuhan bagi saya

Mimi Fly
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Adakala kesibukan bekerja berpotensi membuatkan seseorang individu terlupa untuk menghargai diri sendiri. Malah, perkara itu juga boleh membuatkan kita sukar untuk menikmati apa yang berlaku di sekeliling pada masa sekarang.

Tampak serius, tetapi ketenangan sentiasa menjadi pilihan bagi penyanyi, Mimi Fly meskipun sibuk bekerja, bahkan itulah sisi berbeza dirinya.  

Kata penyanyi yang berusia 39 tahun itu, kesibukan bekerja bukanlah penghalang untuknya menghargai diri sendiri dengan menikmati keindahan alam semula jadi. 

“Saya seorang yang suka merepek dan tidak serius. Saya memang nampak serius apabila bekerja tetapi sisi lainnya saya sukakan ketenangan.

“Tetapi yang paling saya suka lakukan adalah menikmati alam semula jadi seperti air terjun, mendaki, berkhemah, laut dan bermain pasir di pantai. 

“Saya perlukan masa untuk hanyut dalam alam semula jadi dan tidak buat apa-apa,” katanya kepada Pancaindera.

Kata Mimi, bunyi alam seolah bahasa Tuhan bagi dirinya supaya terus hanyut dalam mengagumi keindahan setiap isi bumi tanpa sebarang tekanan. 

“Yang seronoknya, semua keluarga saya pun begitu dan kami saling menghargai masa untuk bersendirian masing-masing. Dengan alam semula jadi, saya boleh jumpa diri sendiri dan rasa diri kembali bernyawa. Saya boleh dengar bunyi degupan jantung dan bunyi alam. 

“Itulah bahasa Tuhan dan bahasa alam bagi saya. Kita hanya perlu diam dan menikmati keindahannya. Di situ juga saya boleh ‘reset’ kehidupan saya untuk menjadi lebih tenang,

“Kadang-kadang kita terlampau berfikir tanpa henti. Apabila bertemu dengan alam semula jadi, dengar bunyi serta mengaguminya saya boleh berhenti berfikir,” jelasnya.

Ditanya mengenai keistimewaan alam semula jadi baginya, penyanyi lagu Angkat itu berpendapat keindahannya mampu membuka ruang dirinya bermeditasi dan memberi ilham untuk melakukan sesuatu perkara dengan positif.

“Alam semula jadi yang membawa saya untuk kembali bermeditasi dan menjadi diri saya sekarang tanpa berfikir apa yang sudah dan telah berlaku. Barulah mudah untuk saya mendapatkan ilham.

“Itu antara praktis yang saya selalu lakukan dan saya galakkan kepada pelajar saya. Sedarkan diri kita untuk perkara yang berlaku sekarang dan jangan terlampau hanyut dalam ‘insecurity’.

Selain mengagumi alam semula jadi, menari dan yoga juga antara aktiviti yang membuatkan dirinya kekal tenang di samping menjaga kesihatan tubuh badan. 

“Saya ada buat kelas yoga dan menari. Kedua-dua aktiviti ini juga membuat kita kekal fokus dalam situasi semasa. Kita lupakan apa yang lepas

“Aktiviti ini selari juga dengan kerjaya saya kerana saya suka menari dan pergerakan badan.Tak perlu bersukan untuk kekal sihat. Menari pun boleh buat kita menari,” kongsinya.

Pesan Mimi, setiap individu perlu mencari masa dan ruang untuk menghargai diri sendiri selain percaya ketenangan itu adalah sesuatu yang bermakna dalam kehidupan seseorang dari segi kesihatan mental dan fizikal. 

“Adakala kesibukan bekerja atau berfikir itu buat kita lupa pada diri sendiri sampai mengundang tekanan. Sebenarnya, kehidupan itu baik-baik saja. 

“Walhal perkara itu sudah lepas, namun ramai yang memilih untuk terlalu berfikir sampai berbulan-bulan. Itu tidak bagus untuk kesihatan diri kita. Tenang saja dan jangan berfikiran negatif,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya