MELAKA: Hanya 20 peratus daripada keseluruhan 496 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dibenarkan bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd. Pisar Aziz berkata, langkah itu bertujuan memastikan jumlah keanggotaan pasukan keselamatan mencukupi bagi menghadapi sebarang bencana yang tidak dijangka.
Menurutnya, perancangan itu juga bagi memastikan operasi di setiap balai bomba dan penyelamat (BBP) di negeri ini berjalan lancar tanpa sebarang kekurangan tenaga kerja.
“Menjelang musim perayaan, kita memastikan kekuatan anggota berada dalam keadaan optimum. Seperti tahun-tahun sebelum ini, hanya 20 peratus daripada keseluruhan 496 pegawai dan anggota dibenarkan bercuti.
“Setiap hari, seramai kira-kira 120 pegawai dan anggota akan bertugas bagi menjalankan operasi menyelamat, termasuk menangani insiden kemalangan jalan raya,” katanya selepas Program Ihya Ramadan bersama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di BBP Jasin Bestari di sini, semalam.
Pada majlis itu, Mohd. Ali turut menyampaikan sumbangan kepada 40 penerima bakul Ramadan.
Tambah Mohd. Pisar, pihaknya turut memastikan semua aset logistik berada dalam keadaan baik serta boleh digerakkan pada bila-bila masa sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Kami berharap tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang musim perayaan ini, lebih-lebih lagi dengan tempoh cuti yang agak panjang tahun ini. – UTUSAN