Hanya 15 peratus bumiputera sertai industri walet Kedah bernilai RM49 juta

Hanya 15 peratus bumiputera sertai industri walet Kedah bernilai RM49 juta

DZOWAHIR Ab. Ghani (kanan) bersama Yusof Ismail pada Majlis Iftar Bersama Persatuan Burung Walet Bumiputera Kedah di Bukit Pinang, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Industri penternakan burung walet di Kedah mencatat hasil mencecah RM49 juta tahun lalu, menjadikannya antara sektor berpotensi tinggi dalam ekonomi negeri ini, namun, penyertaan pengusaha bumiputera hanya 15 peratus daripada keseluruhan pemain industri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab. Ghani berkata, hanya 106 pengusaha bumiputera berdaftar dengan Jabatan Veterinar berbanding 600 pengusaha bukan bumiputera.

“Industri ini mempunyai permintaan besar dari pasaran antarabangsa seperti China, Taiwan dan Singapura dan kita mahu lebih ramai bumiputera mengambil bahagian agar mereka tidak ketinggalan dalam sektor yang berpotensi tinggi ini,” katanya ditemui pada Majlis Iftar Bersama Persatuan Burung Walet Bumiputera Kedah di Bukit Pinang di sini malam tadi.

Kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam industri ini dan salah satu langkah ialah memperluaskan akses pasaran menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Kita turut menghantar delegasi ke luar negara bagi mempelajari teknologi terkini dalam penternakan burung walet,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Burung Walet Bumiputera Kedah, Datuk Yusof Ismail berkata, antara kekangan pengusaha bumiputera adalah modal, kebergantungan kepada orang tengah dan ancaman penyakit yang menjejaskan hasil ternakan yang mana ia memerlukan kos yang tinggi.

“Kami berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan atau menyediakan skim pembiayaan khas bagi menyokong bumiputera dalam industri ini,” katanya.

Menurutnya, isu kebergantungan kepada orang tengah menjejaskan keuntungan pengusaha tempatan kerana mereka tidak dapat menjual produk secara langsung kepada pengguna dan masalah itu semakin ketara apabila harga sarang burung turun mendadak dari RM3,000 kepada RM1,500, menjadikan ramai pengusaha terkesan.

“Kerajaan negeri harus memperkenalkan insentif khas dan mewujudkan pusat pengumpulan hasil yang dikendalikan secara langsung oleh agensi berkaitan bagi mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan jika langkah ini diambil segera, industri burung walet boleh menjadi pemacu ekonomi utama Kedah dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya