PETALING JAYA: Pelakon, Datuk Hans Isaac, kembali menyandang jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bermula hari ini.
Hans Isaac atau Gerald Hans Isaac dilantik bagi menggantikan Datuk Kamil Othman yang menamatkan perkhidmatan pada 22 Februari lalu.
“Setinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Datuk Gerald Hans Isaac di atas pelantikan sebagai Pengerusi Finas berkuatkuasa 26 Mac 2025,” tulis Finas menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, ini merupakan lantikan kedua pelakon Buli Balik itu untuk menerajui Finas selepas berkhidmat pada April 2019 hingga Mei 2020.
Terdahulu, Hans baru selesai memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Pada 17 Mac lalu, Hans membuat kejutan apabila mengumumkan tidak lagi memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selepas dua tahun. -UTUSAN