Bertungkus lumus meletakkan diri sebagai seorang penyanyi dan komposer terkemuka tanah air, Hael Husaini, barangkali kini mampu tersenyum puas apabila menoleh kembali setiap titik perjalanannya sepanjang dua dekad ini.
Ia sekali gus membuktikan bahawa perjalanan yang dilaluinya bukan mudah dan Hael juga sama seperti anak seni lain yang perlu melewati banyak adegan suka dan duka demi sebuah perjuangan relevanisasi.
Berjaya meletakkan diri pada tahap kini, Hael juga beruntung kerana ‘air tangannya’ dalam menghasilkan seni lagu dan muzik sentiasa terlihat menjadi sehingga akhirnya ramai kalangan penyanyi turut terpesona dan menyukai hasil kerjanya.
Dan kini, bukan sahaja artis tempatan, Hael juga melangkah setapak lagi ke hadapan apabila karya-karya seninya turut diintai oleh penyanyi luar negara.
Tentunya menyuntik kebanggaan di hati, Hael bagaimanapun kekal merendah diri dan menganggap semua itu sebagai satu peluang buat pengkarya sepertinya yang ikhlas mencintai bidang muzik.
“Ya benar, saya akan berehat sebentar untuk berada di hadapan kerana ada kerja-kerja di belakang tabir yang perlu saya laksanakan. Ia terutama dalam memberi fokus kepada anak syarikat saya iaitu Huge Entertainment House.
“Di bawahnya, saya akan bekerjasama dengan ramai artis termasuk artis luar negara. Saya akan fokus kepada penghasilan lagu,”katanya.
Mengulas lanjut, kata anak kelahiran Negeri Sembilan ini, secara peribadi sudah tentu dia berasa gembira dengan peluang baharu ini yang menyaksikan ia merupakan pertama kali buatnya.
“Maaf saya tak boleh dedahkan lagi siapa artis tersebut namun saya amat berbesar hati untuk memberikan komitmen ini.
“Bagi saya ia satu peluang yang agak besar di mana saya sebagai pengkarya tempatan dapat membina nama sebagai seorang pencipta lagu untuk artis luar negara.
“Ia juga membuktikan bahawa Malaysia juga mempunyai karya-karya yang berkualiti dan bagus yang boleh diangkat oleh penyanyi luar negara,”ujarnya.
Jelas Hael, dia tidak menafikan bahawa kerjasama itu datangnya daripada perbincangan kedua-dua belah pihak yang mana artis terbabit juga menyatakan kesediaan dan minatnya untuk menjengah masuk ke dalam pasaran seni tanah air.
Objektif ini dilihat Hael sebagai satu projek yang baik di mana jalinan dua buah negara mampu menyemarakkan lagi industri muzik kedua-dua buah negara.
“Saya pun nak mara selangkah lagi ke hadapan. Bagi saya, kita ini jangan ada limitasi hanya kerana selama ini kita sering menganganggap produk atau karya luar negara itu tinggi.
“Itu juga membuktikan bahawa karya kita sebagai anak tempatan juga ada kekuatan kerana kalau ikutkan kita pun ada melodi dan asas muzik yang mempunyai keunikan tersendiri,”katanya.
Bukan satu noktah
Dalam pada itu, Hael juga menepis dakwaan bahawa dirinya sudah tidak lagi berminat untuk menyertai mana-mana pertandingan besar.
Bagaimanapun, mengulas mengenai perkara itu, Hael mengakui bahawa dia cuma akan berehat seketika daripada sebarang pertandingan kerana mahu lebih aktif di belakang tabir.
“Sebab saya sudah berehat selama empat tahun dan terakhir saya menghasilkan Peluang Kedua dan saya mula balik dengan Bukan Lagi Kita yang mendapat sambutan, jadi untuk tahun ini saya mahu fokus dengan artis yang sudi bekerjasama dengan saya.
“Projek pertama Huge Entertainment adalah bersama Nadeera. Alhamdulillah, lagu tersebut mendapat sambutan dan selepas ini saya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana artis yang mahu bekerjasama,” katanya.
Untuk info, Hael memulakan langkahnya dalam dunia seni pada tahun 2006.