TAPAH: Kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, proses itu perlu dijalankan bagi melihat implikasi pelaksanaan cadangan tersebut sama ada baik atau tidak dalam jangka masa panjang.
“Cadangan ini mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Sebahagian orang berpendapat, ia perlu dihadkan kerana jika lama-lama ia akan membuka ruang untuk mencengkam dan menyalahgunakan kuasa.
“Tapi, ada juga cakap kalau pemegang jawatan itu baik dan berfungsi dengan elok, barangkali dua penggal pertama itu adalah peringkat dia merancang dan membangunkan, jadi bila kita kerat (tamatkan) separuh jalan, penggantinya nanti belum pasti dapat meneruskan apa yang dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Santunan Kasih Kerajaan Negeri Perak bersama penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak di Dewan Serbaguna Air Kuning, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai seorang Perdana Menteri yang baik dan berkesan, pemimpin terbabit sudah pastinya mempunyai wawasan untuk negara bagi jangka masa panjang.
Katanya, jika peluang untuk Perdana Menteri tersebut meneruskan wawasan itu ditamatkan, ia mungkin akan merugikan negara.
“Saya rasa kajian perlu dibuat lebih menyeluruh dan terperinci sama ada ia baik atau tidak. Kalau seseorang itu adalah pemimpin yang baik, berkesan dan berwawasan, biasanya wawasan itu untuk jangka masa panjang.
“Jadi kalau kita matikan peluang dia untuk meneruskan wawasan itu, barang kali akan merugikan negara. Kalau difikirkan mungkin dia akan menyalahgunakan kuasa, ia terpulang kepada individu itu,” katanya.
Menerusi laporan media Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan terhadap cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal.
Bagaimanapun, cadangan itu memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang hanya boleh dilakukan dengan sokongan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat. – UTUSAN