KOTA KINABALU: Sekiranya Perdana Menteri tidak dapat melaksana idea dan visi yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun maka, dia belum layak untuk menjadi seorang Perdana Menteri.
Demikian pandangan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengenai cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud berkata, tempoh dua penggal itu sebenarnya sudah mencukupi untuk seorang Perdana Menteri melaksanakan apa juga pembangunan yang ingin dilakukan.
“Saya rasa dua penggal cukup kerana apabila sudah sampai ke tahap itu, sudah tentu dia telah berkhidmat sebagai menteri dan sudah mengembangkan pelbagai idea yang ingin dilakukan sebagai menteri.
“Jadi apabila sudah menjadi Perdana Menteri, takkan mahu tunggu lagi 10 tahun untuk mengembangkan idea itu, ia bermakna dia belum layak untuk menjadi Perdana Menteri.
“Sepatutnya sejak hari pertama jadi Perdana Menteri, dia sudah dapat memastikan semua idea berjalan. Kalau dalam 10 tahun pun, dia tidak boleh selaraskan dasar dan apa yang ingin dibuat, dia memang bukan calon sesuai sebagai Perdana Menteri,” katanya semasa majlis berbuka Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC), di sini semalam.
Abdul Rahman yang juga Pengerusi SOGDC berkata, cadangan mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal pernah dicadangkan oleh UMNO dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PR14).
Menurut beliau, kesinambungan pembangunan tidak akan terjejas kerana apabila Perdana Menteri itu tahu tempoh pemerintahannya hanya 10 tahun, dia pasti akan bekerja sejak hari pertama.
Jelasnya, sudah tiba masanya jawatan Perdana Menteri dihadkan bagi memberi ruang kepada pemimpin lain untuk tampil dengan idea yang lebih segar bagi membawa pembangunan yang lebih pantas.
“Ketika ini, semua orang mempunyai idea dan misi tersendiri, jadi 10 tahun itu sudah memadai bagi seorang Perdana Menteri untuk memerintah,” katanya. – UTUSAN