JAKARTA: Pelakon Indonesia, Davina Karamoy mengambil inisiatif mendaftarkan diri ke kuliah agama setiap bulan selepas memeluk Islam.
Jelas pelakon Ipar Adalah Maut itu, usaha itu dilakukan untuk kekal istiqamah selain merasakan kesibukan dalam industri hiburan membuatnya semakin jauh daripada agama.
“Saya selalu ingin pergi ke kuliah agama. Beberapa kali juga saya turut diundang menjadi pengacara untuk majlis agama.
“Selain dapat pengalaman, saya rasa seperti ‘recharge’ kerana kadangkala pekerjaan di industri hiburan buat saya jauh daripada agama.
“Sekurang-kurangnya sebulan sekali saya mesti pergi kuliah. Supaya lebih dekat dengan agama,” katanya menerusi sebuah perkongsian di suatu majlis terletak di Jakarta Selatan, baru-baru ini.
Bercerita mengenai aktiviti Ramadan, Davina berusaha untuk berbuka puasa dan sahur bersama keluarga walaupun sibuk dengan jadual penggambaran.
“Tahun ini lebih banyak luangkan masa bersama keluarga walaupun susah nak cari masa terluang.
“Kalau sibuk penggambaran setidaknya kena sahur bersama bapa sebelum mula penggambaran lagi,” jelasnya yang turut bertekad khatam al-Quran di set penggambaran.
Terdahulu, Davina Karamoy yang beragama Kristian memeluk Islam selepas sembuh daripada sakit.
Davina terbuka mempelajari Islam selepas sembuh apabila ibunya menyarankannya membaca surah al-Israk sepanjang dirinya sakit. -UTUSAN