PETALING JAYA: Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal wajar dikekalkan bagi memastikan sistem demokrasi negara lebih stabil, telus serta bebas daripada penyalahgunaan kuasa dalam jangka panjang.
Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, ketiadaan had penggal boleh mencetuskan ketidakstabilan politik kerana pemimpin yang terlalu lama berkuasa cenderung menggunakan pelbagai cara untuk mempertahankan kedudukan mereka.
“Apabila seseorang Perdana Menteri memegang jawatan terlalu lama, kecenderungan untuk memanipulasi institusi kerajaan demi kepentingan politik peribadi boleh berlaku.
“Ini boleh melemahkan demokrasi serta menyebabkan ketidakseimbangan dalam pentadbiran negara. Dengan had dua penggal, Perdana Menteri akan lebih fokus kepada dasar dan pembangunan negara tanpa terlalu memikirkan strategi mengekalkan kuasa,” katanya.
Sebelum ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
Memberikan contoh dirinya, Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh itu berkata, masih banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan meskipun telah berkhidmat selama 22 tahun.
Bagaimanapun, Mazlan berpendapat had penggal memberi ruang kepada pemimpin baharu untuk membawa pembaharuan dalam pentadbiran negara.
“Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah turut mengamalkan sistem ini bagi memastikan kepimpinan lebih terbuka dan kompetitif. Had dua penggal memberi peluang kepada pemimpin lain untuk menawarkan diri serta mengelakkan monopoli kuasa,” jelasnya.
Sementara itu, Penganalisis Politik, Dr. Azmi Hassan berkata, had penggal bukan sahaja menghalang dominasi seorang individu dalam kerajaan, malah membuka ruang kepada kepelbagaian idea serta pendekatan baharu dalam pentadbiran negara.
“Pembaharuan kepimpinan adalah asas demokrasi yang sihat, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan masyarakat luar terhadap sistem politik negara.
“Selain itu, had penggal juga dapat mengurangkan budaya politik kronisme yang sering berlaku apabila seseorang pemimpin terlalu lama berkuasa,” katanya. – UTUSAN