PUTRAJAYA: Sambutan hangat kempen perjalanan percuma Subang – Petaling Jaya – Kajang baru-baru ini membolehkan GV Ride meneruskan kempen serupa bagi penduduk di Subang bermula pada 1 sehingga 30 April depan.
Ketua Pegawai Eksekutif GVV, Kabeer Singh Maand berkata, sambutan luar biasa dari masyarakat Subang Jaya mendorong pihak syarikat untuk melanjutkan tawaran promosi tambang percuma itu.
Beliau berkata, langkah ini diambil bagi menghargai sokongan diberikan warga Subang Jaya di samping memperkenalkan perkhidmatan e-hailing tempatan yang lebih selamat dan berkualiti.
“Kempen Free Ride Subang ini masih lagi sebahagian daripada inisiatif GV Ride ‘1 Million Free Ride Kempen’,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, pengguna yang ingin mendapatkan perjalanan percuma itu hanya perlu memuat turun aplikasi GV Ride melalui Google Play Store atau Apple App Store.
Selain itu, Kabeer berkata, pengguna juga perlu melengkapkan pendaftaran sebagai penumpang dan tempah perjalanan seperti biasa dengan syarat lokasi penjemputan berada di dalam kawasan Subang Jaya.
“Setiap pengguna layak untuk satu perjalanan percuma sehari, dengan had tambang percuma maksimum sebanyak RM30 termasuk tol.
“Jika tambang melebihi RM30, penumpang perlu membayar baki selebihnya kepada pemandu,” katanya.
Tambahnya lagi, promosi itu terhad kepada jumlah subsidi RM500,000 dan akan berakhir sebaik sahaja peruntukan ini digunakan sepenuhnya.
Kabeer berkata, pihak GV Ride berharap tawaran itu dapat memberikan manfaat kepada penduduk Subang Jaya dalam mendapatkan perkhidmatan pengangkutan yang mudah, selamat dan dipercayai.
GV Ride ialah penyedia perkhidmatan e-hailing tempatan yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan yang selamat dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat. – UTUSAN