Guru SK Jerantut Jaya kumpul dana program Infaq Bakul Ramadan

Guru SK Jerantut Jaya kumpul dana jayakan program Infaq Bakul Ramadan

JAMALLUDIN Baharun (berdiri, tengah) bersama guru dan ibu bapa yang menerima sumbangan bakul barang keperluan dapur kepada seorang penjaga murid di Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 57 orang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, bandar Jerantut berjaya mengumpul dana bagi beramal jariah membantu barang keperluan dapur untuk keluarga murid yang kurang berkemampuan di bawah program Infaq Bakul Ramadan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, bandar Jerantut baru-baru ini.

Guru Besar SK Jerantut Jaya, Jamalludin Baharun berkata, bakul tersebut yang terdiri daripada makanan kering bernilai RM50 disumbangkan kepada seramai 60 orang ibu bapa atau penjaga murid dalam kalangan kurang berkemampuan bagi keperluan persiapan juadah berbuka puasa.

“Pentadbir dan guru di sini terpanggil untuk membantu keluarga murid berkenaan lalu menganjurkan kutipan derma (wang) sekadar yang termampu untuk berbelanja barang keperluan dapur sebelum mengadakan majlis penyampaian sumbangan yang disertai ibu bapa atau penjaga murid berkenaan.

“Kita tidak sampai hati menikmati sajian makanan yang lazat ketika berbuka puasa apabila melihat atau mendengar ada insan lain atau keluarga serta murid sekolah ini cuma menjamah (makanan) ala kadar lantaran kekurangan wang untuk berbelanja,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan Infaq Bakul Ramadan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, bandar Jerantut baru-baru ini.

Menurut Jamalludin, seramai 60 ketua keluarga terdiri daripada ibu bapa dan penjaga yang dikenal pasti menerusi bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah hadir menerima bantuan tersebut dan ada yang mewakilkan anak masing-masing yang belajar di situ.

Seorang Guru SKJJ, Tan Yahya Tan Ibrahim berkata, kelaziman program itu dilaksanakan ketika bulan Ramadan dan menjelang Hari raya Aidilfitri melibatkan pentadbir dan guru sekolah itu bermuafakat mengumpul dana untuk menyediakan bakul makanan kepada keluarga murid yang susah.

 

“Sedikit wang gaji yang diterima bulanan, kita manfaatkan serta kongsikan sekadar termampu untuk bantuan kebajikan bagi keluarga berkenaan supaya mereka juga ceria ketika berbuka puasa dan bersahur,” katanya. an Yahya yang juga Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid berkata, sudah sewajarnya bagi golongan yang mampu menzahirkan bantuan kepada penduduk susah dan kurang berkemampuan selari dengan panduan ajaran Islam.

Sementara itu, Muhammad Akhbar Firdaus Muhammad Naha Yulisa, 12, berkata, dia dan keluarganya bersyukur menerima infaq makanan itu untuk keselesaan mereka membuat persiapan sajian berbuka puasa.

“Saya dari keluarga yang kurang mampu. Jadi sumbangan guru di sini boleh meringankan perbelanjaan kami menyediakan makanan untuk berbuka puasa dalam tempoh beberapa hari,” katanya.

Ujarnya, dia serta rakan senasib berdoa supaya amal jariah guru SKJJ menyumbangkan barang makanan itu akan menerima ganjaran yang besar sempena bulan Ramadan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN