SERAMAI 57 orang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, bandar Jerantut telah mengumpul dana bagi beramal jariah membantu barang keperluan dapur untuk keluarga murid yang kurang berkemampuan di bawah program Infaq Bakul Ramadan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, bandar Jerantut baru-baru ini.
Guru Besar SK Jerantut Jaya, Jamalludin Baharun berkata, bakul tersebut yang terdiri daripada makanan kering bernilai RM50 disumbangkan kepada seramai 60 orang ibu bapa/penjaga murid dalam kalangan kurang berkemampuan bagi keperluan persiapan juadah berbuka puasa.
“Pentadbir dan guru di sini terpanggil untuk membantu keluarga murid berkenaan lalu menganjurkan kutipan derma (wang) sekadar yang termampu untuk berbelanja barang keperluan dapur sebelum mengadakan majlis penyampaian sumbangan yang disertai ibu bapa/penjaga dan murid berkenaan.
“Kita tidak sampai hati menikmati sajian makanan yang lazat ketika berbuka puasa apabila melihat atau mendengar ada insan lain atau keluarga serta murid sekolah ini cuma menjamah (makanan) ,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan Infaq Bakul Ramadan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, bandar Jerantut baru-baru ini.
Sementara itu, Muhammad Akhbar Firdaus Muhammad Naha Yulisa, 12, berkata, dia dan keluarganya bersyukur menerima infaq makanan itu untuk keselesaan mereka membuat persiapan sajian berbuka puasa.
“Saya dari keluarga yang kurang mampu. Jadi sumbangan guru di sini boleh meringankan perbelanjaan kami menyediakan makanan untuk berbuka puasa dalam tempoh beberapa hari,” katanya.
Ujarnya, dia serta rakan yang senasib dengannya berdoa supaya amal jariah guru SK Jerantut Jaya menyumbangkan barang makanan itu akan menerima ganjaran yang besar sempena bulan Ramadan ini. – UTUSAN