Guru Besar pencen bakti di sekolah Sungai Kiol

Guru Besar pencen masih menyumbang bakti di sekolah

SEBAHAGIAN murid sedang memulakan larian acara merentas desa di Sekolah Kebangsaan Sungai Kiol, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemanisan serta pahit maung yang ditempuh dalam alam pekerjaan sebelum bersara menyebabkan seorang bekas guru besar di sebuah sekolah rendah rasa terpanggil untuk terus ‘berbakti’ dari luar sekadar apa yang perlu dalam kalangan murid di sebuah perkampungan Orang Asli Sungai Kiol, Jerantut, Pahang.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, bekas seorang guru besar, Abd. Manaf Mat, 61, tetap ‘menjiwai’ tugas mulia itu apabila kerap membantu program akademik, kokurikulum dan pembinaan insan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol, Jerantut selepas setahun bersara.

ABD Manaf Mat membantu guru mengawasi keselamatan murid dalam acara merentas desa berdekatan Sekolah Kebangsaan Sungai Kiol, Jerantut.
ABD Manaf Mat (kiri) bersama guru di sebuah checkpoint acara merentas desa murid Orang Asli etnik Jahut berdekatan Sekolah Kebangsaan Sungai Kiol, Jerantut.

Abd. Manaf berkata, dia terpanggil untuk membantu semua aktiviti di sekolah itu sekurang-kurangnya hadir memberi galakan dengan membawa hadiah, bantuan peralatan belajar untuk murid dan keceriaan sekolah, sumbangan sempena Hari Kecemerlangan Sekolah, sukan tahunan dan sebagainya.

“Hari ini, saya hadir untuk memeriahkan acara merentas desa sejauh lima kilometer melibatkan murid Orang Asli etnik Jahut di sini dan diminta menjaga checkpoint bersama guru serta mengiringi dan menjaga keselamatan murid yang tidak mampu berlari.

“Senario ini terus menambat hati saya untuk menghilangkan kesunyian ketika berada di rumah selepas bersara pada bulan Januari tahun lalu dan terpaksa ke sekolah ini supaya terhibur dan mengenang kisah lama ketika menjadi guru,” katanya di Kampung Sungai Kiol, Jerantut baru-baru ini.

Abd. Manaf Mat beramah mesra dengan dua orang murid Orang Asli etnik Jahut ketika merentas desa di laluan berdekatan Sekolah Kebangsaan Sungai Kiol, Jerantut. – utusan/HARIS FADILAH AHMAD

 

Menurut Abd. Manaf, kehadirannya ke sekolah kemungkinan tidak ‘disenangi’ oleh pihak tertentu, tetapi diterima baik oleh pentadbir dan sebilangan guru yang pernah bertugas bersamanya sebelum ini.

“Kehadiran saya setiap kali program akademik dan kokurikulum bersama ibu bapa dan penjaga untuk memberikan galakan dan semangat kepada seramai 96 orang murid Orang Asli di sini dan 13 orang guru ketika menjayakan sesuatu aktiviti dan memberikan pandangan sekiranya mereka minta,” katanya.

Abd Manaf yang pernah bertugas sebagai Guru Besar di sekolah murid Orang Asli di SK Sinderut, Lipis sebelum ini berkata, dia banyak menghabiskan ‘wang poket’ untuk membeli hadiah dan peralatan belajar, basikal, jersi untuk disumbangkan kepada murid SK Sungai Kiol ketika program tertentu sepanjang tahun.

“Sumbangan basikal yang berharga antara RM200 hingga RM500 sebuah untuk hadiah galakan supaya murid Orang Asli hadir penuh setiap bulan nampaknya memberi kesan amat baik dan difahamkan tidak ada lagi murid di sini tidak hadir tanpa sebab,” katanya.

 

 

 

Ujarnya, dia tetap bersama murid Orang Asli selagi diterima baik oleh pihak berkenaan berasaskan ‘jiwa seorang pendidik’ dan nilai kemanusiaan apabila sangat prihatin dengan kesusahan yang ditempuh oleh murid Orang Asli etnik Jahut di situ yang memerlukan pembelaan kebajikan mereka.

Seorang murid Tahun Enam, Andrian a/l Alan, 12, berkata, dia mengkagumi sikap pemurah Cikgu Abd Manaf yang kerap datang membantu kebajikan murid Orang Asli di sekolah tersebut.

“Dia kerap datang membawa hadiah basikal, jersi. alat tulis dan sebagainya untuk menggalakkan kami suka datang ke sekolah belajar menjadi pandai dan mendapat pekerjaan yang baik supaya boleh membantu keluarga,” katanya.

“Kemurahan hati serta jiwa murni seorang pendidik seperti Cikgu Abd Manaf serta kemesraan dengan penduduk Orang Asli kampung itu, mereka akan kenangi sepanjang hayat,” ujarnya. u

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN