ALOR SETAR: Seorang warga emas tidak menyangka gurauan cucunya berkaitan kematian berakhir dengan tragedi apabila cucunya itu bersama dua rakan maut dalam kemalangan di Kilometer 58.4 Lebuhraya Utara Selatan di Pendang, hari ini.
Malisom Din An, 64, berkata, dia bertemu dengan Daniel Thean Yong Shean, 26, dua hari lepas yang menziarahinya setelah baru keluar dari wad kerana masalah kesihatan.
“Bila nak balik saya cakap padanya bahawa saya sudah tua, bila-bila boleh mati tetapi dia balas orang muda pun kalau sudah ajal mati dulu. Bila mendapat berita tentang kematiannya hari ini saya jadi sebak mengenangkan kata-katanya itu.
“Cucu saya meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki yang berusia setahun,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Kemalangan yang melibatkan lima kenderaan termasuk tiga lori itu turut mengorbankan dua lagi mangsa, Edwin Jackson Anak Naga dan Lew Kai Chun masing-masing berusia 32.
Menurut seorang rakan Edwin yang ingin dikenali sebagai Lee, 26, mangsa yang berasal dari Bintulu, Sarawak akan dibawa pulang ke kampung halamannya untuk disemadikan.
“Keluarganya dari Sarawak mengamanahkan saya untuk menguruskan mangsa. Kali terakhir kami berjumpa malam kelmarin untuk minum bersama dan mendiang tidak menunjukkan apa-apa petanda pun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada salah sebuah lori yang berhenti tanpa sebarang isyarat.
Beliau berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Proton Saga yang dinaiki tiga mangsa yang maut itu hilang kawalan ketika cuba mengelak lori tersebut yang diletakkan di lorong kanan.
“Kemalangan ini melibatkan lima kenderaan termasuk tiga lori dan pikap. Kereta Proton Saga yang hilang kawalan bergesel dengan dua buah lori lagi pada masa sama sebuah kenderaan pikap dari belakang tidak sampat membrek lalu melanggar kereta dan lori itu.
“Akibat pelanggaran, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit. Mereka dikeluarkan dengan bantuan bomba sebelum dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kemalangan turut mengakibatkan pemandu kereta itu cedera parah sementara dua lagi yang menaiki pikap cedera ringan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN