Guna SpEKAR elak penjawat awam terperangkap hutang

Guna SpEKAR elak penjawat awam terperangkap hutang

ABDUL FATTAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bersedia menawarkan Sistem Pelaporan Kredit Angkasa (SpEKAR) kepada kerajaan bagi memastikan permohonan pinjaman penjawat awam mempunyai tahap kredit yang sihat dan mengelakkan mereka daripada terbeban hutang berlebihan serta bertindih.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, SpEKAR menjadi pusat sehenti bagi menilai keupayaan kewangan peminjam terutama penjawat awam yang menggunakan Sistem Potongan Gaji Angkasa (SPGA).

Katanya, sistem ini bukan sahaja mengumpul data peminjam daripada koperasi, bank dan institusi kewangan lain, tetapi dapat mengesan mereka yang sudah mencapai had potongan gaji maksimum 60 peratus seperti ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kami lihat masalah keberhutangan serius dalam kalangan penjawat awam, dengan hampir 10,000 hingga 15,000 orang diisytiharkan muflis setiap tahun. SpEKAR boleh menjadi meka­nisme kawalan awal bagi menge­lakkan lebih ramai penjawat awam terjerumus dalam situasi yang sama,” katanya kepada pemberita di Kampung Masjid Lubuk Kulit di sini, semalam.

Abdul Fattah berkata, sistem SpeKAR boleh menjadi pusat sehenti bagi menguruskan potongan gaji secara bersepadu, memastikan peminjam tidak terjebak dalam pinjaman bertindih atau berurusan dengan pemberi pinjaman tidak berlesen seperti ahlong.

Katanya, sistem ini bukan sahaja mengawal kelulusan pinjaman secara lebih sistematik, tetapi dapat membantu memastikan penjawat awam tidak terbeban dengan hutang melebihi kemampuan mereka.

“Ketika ini, seramai 1.2 juta penjawat awam dan pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menggunakan sistem potongan gaji ini, dengan jumlah potongan pinjaman yang diuruskan dianggarkan antara RM1.2 hingga RM1.5 bilion sebulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya