PETALING JAYA: Bekas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyeru agar setiap penyokong parti itu bersatu di bawah kepemimpinan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Katanya, sokongan itu penting sebagai usaha memperkukuhkan dan menjadikan parti lebih kuat.
“Tahniah kepada Anthony Loke Siew Fook kerana menjadi Setiausaha Agung kita sekali lagi dan kepada Gobind Singh Deo kerana dilantik sebagai Pengerusi Kebangsaan baharu.
“Semoga kedua-duanya berjaya dan yakinlah kita akan bersatu di bawah kepemimpinan Loke. Mari kita terus maju bersama untuk menjadikan DAP lebih kuat,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Bagan itu turut menzahirkan penghargaan terhadap kesemua individu yang memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada dirinya.
“Ramai menyuarakan kebimbangan mengenai semua laporan berita tentang saya.
“Saya hanya ingin mengambil sedikit masa untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong dan mereka yang tidak menyokong saya. Terima kasih atas kebimbangan dan dorongan anda. Saya sangat menghargainya dari hati saya,” katanya.
Guan Eng berjaya mempertahankan kedudukannya untuk terus berada dalam barisan 30 ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada pemilihan Kongres Kebangsaan DAP ke-18 yang berakhir semalam.
Penyandang jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP itu dipilih semula menganggotai CEC selepas memperoleh 1,719 undi untuk berada di tangga ke-26. – UTUSAN