PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meluahkan kebimbangan berkenaan pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian pelajar.
Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramanian berpendapat, pelaksanaan tersebut merupakan tindakan terburu-buru dan meragui tujuan pemakaian lencana itu.
“Adakah pelaksaan ini benar-benar mampu memperkukuh semangat patriotisme pelajar atau sekadar tindakan projek tanpa asas kajian yang kukuh.
“Apakah tahap perbincangan dengan mereka yang memegang kepentingan pendidikan pelajar terutama golongan pendidik, wakil pelajar, pakar sosiologi dan ibu bapa sebelum pelaksanaan ini berlaku?,” soalnya dalam kenyataan.
Wendy berkata, dasar yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa pendekatan yang baik mampu menimbulkan kekeliruan dan reaksi bertentangan dalam kalangan pelajar.
“Sekarang Kementerian Pendidikan (KPM) hanya mewajibkan institusi di bawah seliaannya, bagaimana pula dengan mereka yang belajar di sekolah swasta dan antarabangsa?
“Bukankah mereka pun rakyat Malaysia, warganegara yang perlu disemai pendekatan ‘patriotisme’? Mengapa cadangan KPM ini ‘tempang’?,” katanya.
Katanya lagi, pihak kerajaan perlu melaksanakan dasar holistik jika benar menginginkan pembinaan patriotisme yang baik dalam diri pelajar.
Perkara tersebut termasuk memperkukuh kurikulum dan kokurikulum, mempromosikan dialog antara pemegang taruh serta menyediakan ruang kepada rakyat dalam memberi kerjasama.
KPM sebelum ini mengumumkan pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa mulai 21 April ini secara berperingkat.
“Tindakan ini adalah untuk menyemai rasa cinta akan negara dan menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda,” katanya.-UTUSAN