Geng Adik Mamat didakwa merompak, miliki pistol

Geng Adik Mamat didakwa merompak, miliki pistol

N. KLEMENT RAJ (dua dari kiri) bersama Mohamad Haidar Abdullah (tengah) dan Muhammad Zul Syamsi Johari didakwa atas tuduhan merompak secara kumpulan dan memiliki senjata api di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga ahli Geng Adik Mamat termasuk seorang anak kepada individu bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, hari ini atas tuduhan merompak secara berkumpulan serta memiliki senjata api, bulan lalu.

Mohamad Haidar Abdullah, 34, N. Klement Raj, 38, dan Muhammad Zul Syamsi Johari, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan yang dibaca secara bersama dan berasingan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim serta Majistret, A. Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Mohamad Haidar dan Klement Raj secara bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Hon Chong Seng melibatkan wang tunai RM3,500, telefon bimbit Iphone XS Max, Iphone 13 Pro Max, kad ATM, lesen memandu, kad pengenalan dan dompet di sebuah kedai kopi di Taman Sentosa, di sini pada pukul 5 pagi, 14 Februari lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Mohamad Haidar turut didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Sigsauer beserta kelopak dan sarung berwarna hitam di sebuah rumah di Jalan Rahmat, Kampung Melayu Majidee, di sini pada pukul 1.05 petang pada 17 Februari lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh dan Nur Diyana Zubir, manakala tertuduh diwakili peguam bela Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Zafirah Norizan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 10 April depan.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Mohamad Haidar dan Klement Raj turut berdepan pertuduhan bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Chem Sooi Tea melibatkan wang tunai RM650, kad ATM dan kad pengenalan di sebuah kedai kopi di Taman Sentosa, di sini pada pukul 5 pagi, 14 Februari lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dijamin RM10,000 seorang, manakala 10 April depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.

Di Mahkamah Majistret, Muhammad Zul Syamsi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk senjata api tiruan di sebuah rumah di Jalan Rahmat, Kampung Melayu Majidee, di sini pada pukul 1.35 petang, 17 Februari lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 20 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya