KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menghulurkan sebarang bantuan susulan gempa bumi kuat melanda kawasan tengah Myanmar dan utara Thailand hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berdiri dalam solidariti yang tidak berbelah bagi dengan jiran yang dilanda bencana tersebut.
“Kami mengakui keadaan darurat yang diisytiharkan oleh pihak berkuasa di Myanmar dan penetapan Bangkok sebagai kawasan yang dilanda bencana oleh kerajaan Thailand.
“Malaysia bersedia menghulurkan bantuan dan menyokong usaha kemanusiaan mengikut keperluan. Dalam masa kesedihan dan ketabahan bersama ini, semoga pemulihan cepat, dan semoga kekuatan ikatan serantau kita membawa harapan dan penyembuhan,” katanya dalam kenyataan di akaun media sosialnya hari ini.
Terdahulu, gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 yang melanda di tengah Myanmar hari ini turut dirasai oleh sebahagian rakyat Malaysia terutama di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan insiden tersebut turut menyebabkan jalan raya retak di ibu negara, Naypyidaw serta gegaran dirasai di China dan Thailand.
Malah, USGS turut melaporkan pusat gempa terletak 16 kilometer (km) ke barat laut bandar Sagaing pada kedalaman 10km, berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari waktu tempatan (0620 GMT).
“Saya amat prihatin dengan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar tengah dan utara Thailand, menyebabkan kehilangan nyawa yang tragis dan kemusnahan teruk di Mandalay, Bangkok dan kawasan berdekatan.
“Laporan mengenai bangunan runtuh, orang awam yang terperangkap, dan korban yang semakin meningkat amat mendukacitakan.
“Kami juga memantau dengan teliti perkembangan di selatan Yunnan China, di mana gegaran telah dirasai dan kerosakan struktur dilaporkan.
“Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada semua yang kehilangan orang tersayang, dan doa kami kepada mereka yang cedera
dan kehilangan tempat tinggal,” ujar Anwar.-UTUSAN