PETALING JAYA: Pelajar yang mengulangi kesalahan menghisap rokok elektronik atau vape boleh digantung sesi persekolahan selama 14 hari yang tidak melibatkan peperiksaan awam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu berdasarkan Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 yang dikeluarkan oleh pihak kementerian bagi melarang penggunaan vape di sekolah.
Katanya, usaha penguatkuasaan bagi mengawal kebejatan sosial isu vape ini telah bermula sejak 2015.
“Pihak sekolah perlu mengadakan sesi konsultasi bersama ibu bapa atau penjaga kepada murid yang terlibat dalam salah laku vape. Murid juga perlu melengkapkan borang akur janji untuk tidak melakukan kesalahan ini lagi.
“Seandainya murid ingkar dan mengulangi salah laku itu, pihak sekolah boleh mengenakan tindakan dengan menggantung persekolahan selama 14 hari persekolahan yang tidak melibatkan peperiksaan awam,” katanya di Dewan Negara, semalam.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad mengenai langkah-langkah yang telah dirangka dalam menangani serta mengawal penggunaan rokok elektronik disebabkan peratusan penggunaan yang semakin meningkat.
Fadhlina berkata, usaha paling berkesan bagi mengawal penularan kebejatan sosial itu adalah melalui pendidikan pencegahan seperti program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa).
Jelasnya, program itu dilaksanakan melalui kurikulum, kokurikulum dan aktiviti pembangunan sahsiah murid.
“Murid didedahkan kepada bahaya rokok elektronik serta dilatih untuk menjadi duta sahsiah yang membantu rakan sebaya menjauhi gejala negatif.
“KPM juga melaksanakan beberapa lagi program dan aktiviti pendidikan pencegahan seperti Program Skim Lencana Antidadah, Program Lima Minit Antirokok dan Vape, Skuad Junior Antidadah melalui Kelab PPDa serta Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape,” katanya.
Beliau berkata, pihak kementerian juga percaya usaha menangani masalah ketagihan rokok elektronik dalam kalangan murid sekolah akan lebih berkesan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
Sehubungan itu, katanya, KPM sentiasa mengadakan kerjasama erat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah.
“Kerjasama daripada Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa tempatan, ibu bapa serta masyarakat bagi memantau pembelian dan penjualan vape kepada murid sekolah amat diharapkan,” katanya. – UTUSAN