PETALING JAYA: Hartal Doktor Kontrak mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk segera membaiki sistem ePlacement bagi mengelakkan kekeliruan berulang yang membebankan pegawai kesihatan.
Jurucakapnya berkata, masalah teknikal yang berlaku dalam sistem tersebut menyebabkan ramai pegawai terpaksa mengambil cuti dan mengalami kerugian akibat tempahan penginapan serta pengangkutan yang telah dibuat lebih awal.
Menurutnya, pegawai kesihatan yang sepatutnya melapor diri di tempat baharu kini terpaksa menanggung beban kewangan dan tekanan kerana kelemahan sistem yang masih belum diselesaikan.
“Kami menuntut KKM untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekeliruan ini dan memastikan perkara sama tidak berlaku lagi di masa hadapan,” katanya ketika dihubungi.
Isnin lalu, akhbar ini melaporkan sistem pemilihan penempatan pegawai perubatan, ePlacement sedia ada yang menggunakan kaedah ‘siapa cepat dia dapat’ akan digantikan dengan sistem yang lebih telus, adil, berasaskan merit dan memenuhi penawaran dan permintaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, sehubungan itu, tarikh permohonan baharu sistem ePlacement yang dijadualkan pada 25, 26 dan 27 Mac ini dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Mengulas lanjut, Hartal Doktor Kontrak berkata, KKM perlu memberi cuti tanpa rekod kepada pegawai kesihatan yang terpaksa mengambil cuti disebabkan kelemahan sistem ini.
“Ramai pegawai akhirnya terpaksa menggunakan cuti tahunan mereka hanya kerana masalah teknikal yang bukan berpunca daripada mereka.
“Bagi mereka yang telah membelanjakan wang untuk tempahan hotel dan pengangkutan, KKM perlu memberikan bantuan atau pampasan yang sewajarnya.
“Kerajaan tidak boleh lepas tangan dan membiarkan pegawai kesihatan menanggung kerugian akibat kesilapan pihak lain,” katanya. – UTUSAN