MiSI galak belia India sertai kerjaya sebagai kedi

MiSI galak belia India sertai kerjaya sebagai kedi

PARA graduasi kumpulan kedua peserta di bawah Skim Latihan Kemahiran dengan Jaminan Pekerjaan anjuran MiSI di Johor Bahru, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui inisiatif Malaysian Indian Skills Initiative (MiSI) telah mengadakan majlis graduasi bagi kumpulan kedua peserta di bawah Skim Latihan Kemahiran dengan Jaminan Pekerjaan.

Inisiatif itu dijalankan dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan AMS Caddy Academy bertujuan menggalakkan belia India menceburi industri golf sebagai kedi yang semakin berkembang di Malaysia sekali gus meningkatkan daya saing pekerja tempatan.

AMS Caddy Academy berkata, program MiSI bukan sahaja menyediakan latihan kemahiran tetapi turut menawarkan jaminan pekerjaan selepas tamat latihan khususnya untuk komuniti India.

TEO Nie Ching  (dua dari kiri) pada majlis graduasi di Johor Bahru, baru-baru ini.

Katanya, usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen Kementerian Sumber Manusia dalam meningkatkan kebajikan, kemahiran dan produktiviti tenaga kerja tempatan dengan memfokuskan kepada komuniti India melalui peluang pekerjaan yang mampan.

“Para peserta menerima pelbagai manfaat termasuk perlindungan insurans, pelan perkembangan kerjaya yang tersusun serta gaji lebih tinggi daripada paras gaji minimum negara.

“Ini menjadikan profesion kedi sebagai satu kerjaya yang lebih menarik dan berdaya maju untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Majlis graduasi turut dihadiri beberapa tetamu kehormat termasuk Timbalan Menteri Komunikasi iaitu Teo Nie Ching merangkap Ahli Parlimen Kulai.

Nie Ching dalam ucapannya menzahirkan sokongan terhadap program berkenaan dan menekankan kepentingan penyertaan tenaga kerja tempatan dalam industri golf.

Beliau berkata, ia bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing malah membuka peluang kepada rakyat tempatan untuk menjana pendapatan dalam industri yang sedang berkembang pesat itu.

“Saya gembira melihat Kementerian Sumber Manusia melalui MiSI bekerjasama dengan sektor swasta dalam melatih rakyat Malaysia supaya bersedia mengisi kekosongan pekerjaan yang ada.

“Sebilangan besar jawatan ini diisi oleh pekerja asing sedangkan ia sebenarnya diperuntukkan kepada rakyat tempatan. Saya percaya faktor gaji menarik menjadi tarikan utama bagi pekerja asing.

“Oleh itu, saya menggesa rakyat Malaysia untuk merebut peluang ini dan membina kerjaya sebagai kedi profesional. Pekerjaan ini bukan sekadar memberi pendapatan tetapi juga menjadikan mereka duta negara kepada pemain golf antarabangsa yang datang ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya