ALOR SETAR: Sekumpulan pekerja asing sebuah kilang di Jabi, Pokok Sena menyerang dua penyelia mereka dipercayai berpunca daripada isu pembayaran gaji yang lewat dalam kejadian tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 12.05 tengah hari sebelum pihaknya dimaklumkan sejam kemudian.
Katanya, kejadian itu tular di media sosial apabila rakaman video berdurasi 1 minit 11 saat memaparkan kekecohan dalam kalangan pekerja asing dari Bangladesh dan Nepal di kilang berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kekecohan berpunca daripada rasa tidak puas hati sekumpulan pekerja terhadap kelewatan pembayaran gaji yang dimaklumkan oleh pihak syarikat sebelum itu.
“Pertelingkahan antara pekerja dan dua penyelia kilang tersebut akhirnya bertukar menjadi insiden tolak-menolak sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada tiga individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis sedang mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Siti Nor Salawati turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu yang dikhuatiri akan mencetuskan kegusaran awam.
“Setakat ini, keadaan di lokasi adalah terkawal dan difahamkan pihak syarikat telah menyelesaikan isu pembayaran gaji kepada pekerja yang terlibat,” katanya.-UTUSAN
TANGKAP layar sekumpulan pekerja sebuah kilang yang menyerang penyelia mereka akibat kelewatan pembayaran gaji di Jabi, Pokok Sena.