LIPIS: Sekumpulan gajah bukan sahaja merosakkan tanaman malah dikatakan memakan padi huma yang disimpan dalam stor di Kampung Orang Asli (KOA) Perangkap di sini, menyebabkan penduduk berfikir dua kali untuk meneruskan aktiviti pertanian itu.
Tok Batin KOA Perangkap, Tuny Amir, 64, berkata, majoriti daripada kira-kira 1,800 penduduk di sekitar kampung itu menjalankan aktiviti pertanian tradisional sebagai sumber makanan dan pendapatan.
Katanya, sejak akhir-akhir ini, kumpulan gajah bukan sahaja merosakkan pokok pisang, getah, sawit dan kediaman, malah memecah masuk stor simpanan untuk memakan padi yang disimpan di situ.
“Kami bimbang untuk bercucuk tanam sebab musnah begitu sahaja dirosakkan atau dimakan gajah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tuny berkata, peralatan solar yang dirosakkan gajah tiga minggu lalu menyebabkan penduduk bergelap dan terpaksa menggunakan sumber cahaya minyak tanah.
Sementara itu, Tok Batin KOA Pantos, Zamri Abdullah, 37, pula bimbang kumpulan gajah bertindak lebih agresif yang boleh mengancam keselamatan penduduk.
“Kami pernah cuba menghalau gajah dengan bunyi mercun dan unggun api tetapi tidak berkesan.
“Kami berharap kerajaan dapat mengambil tindakan lebih tegas untuk mengatasi masalah ini, termasuk mempercepat proses pemindahan gajah serta mengawal aktiviti pembalakan yang menyebabkan habitat haiwan itu semakin terancam.
“Kami cuma mahu hidup dengan selamat tanpa perlu risau rumah roboh, tanaman musnah atau nyawa melayang akibat serangan gajah,” katanya. – UTUSAN