SHAH ALAM: Guna kiriman bungkusan barangan elektrik untuk menyeludup syabu menerusi kurier dan kargo udara.
Itu modus operandi dua pengedar dadah yang bergiat aktif melakukan kegiatan haram berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sejak Januari lalu.
Suspek lelaki tempatan berusia 27 dan 31 tahun itu dikesan sanggup menyewa rumah RM4,300 sebulan bagi menyimpan dadah sebelum menyeludup ke Sarawak dengan khidmat kurier.
Mereka yang juga penganggur dan masih bujang pernah lima kali berjaya melakukannya dalam tempoh dua bulan.
Helah kali keenam itu bagaimanapun dibongkar polis yang memberkas suspek susulan penemuan ribuan kilogram (kg) syabu di dalam mesin pembakar wafel di kargo KLIA, Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu dikesan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) KLIA yang menjalankan pemeriksaan terhadap satu bungkusan berkenaan, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut kemudian menemukan tiga bungkusan disyaki syabu seberat 3.094 kilogram (kg) di dalam mesin tersebut.
“Susulan penemuan itu, polis menahan dua lelaki di pintu pelepasan domestik KLIA, Sabtu lalu selepas berjaya mengesan maklumat di bungkusan berkenaan.
“Suspek kemudian memandu arah ke sebuah rumah di Kajang dan menemukan dadah jenis Erimin 5 seberat 20kg, syabu 126.42 gram dan ketamin 75.6 gram. Nilai rampasan dianggarkan RM2.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, petang ini.
Menurut Hussein, semakan mendapati dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan sebuah kereta bernilai RM60,000 turut disita bagi tindakan lanjut.
“Hasil saringan air kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif ketamin.
“Mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati semua dadah itu diseludup untuk dijual bagi pasaran di Sarawak.-UTUSAN